'Along janji teman nenek di kampung cuti semester depan'
KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Nenek seorang daripada lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam tragedi kemalangan dekat Terowong Menora di Kuala Kangsar terkilan kerana cucunya itu tidak sempat menunaikan janji untuk menemaninya di kampung ketika cuti akhir semester akan datang.
Rosnah Abu Bakar, 65, berkata, cucunya, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, atau lebih mesra dengan gelaran along pernah menyuarakan untuk menghabiskan cuti semester depan untuk menemaninya yang tinggal di Kampung Pantai Penunjuk, Kijal di sini.
Menurutnya, kesedihan dialami bertimpa kerana kerinduan terhadap arwah suami yang meninggal dunia pada Disember tahun lalu belum reda, kini cucunya pula menyusul.
"Semua ahli keluarga ada jumpa Naim ketika pulang berhari raya di kampung pada 29 April lalu, waktu itu dia ada berjanji untuk tinggal dan mahu habiskan cuti semesternya di kampung,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Syatila Abdullah, 39, berkata, jenazah Ahmad Naim Najmi akan disemadikan berdekatan kubur datuknya di Tanah Perkuburan Pantai Penunjuk Kijal di sini.
Katanya, hasrat itu disuarakan bapa mangsa, Ahmad Hafizan Abdul Rahman ketika menghubungi mereka sekeluarga awal pagi Khamis.
"Bapa Allahyarham ada hubungi dan menyampaikan hasrat untuk mengebumikan jenazah berdekatan dengan kubur datuknya, Abdulah Sulung.
"Arwah sebenarnya sangat rapat dengan datuknya. Sebab itulah bapanya memutuskan untuk mengebumikan arwah bersebelahan kubur datuknya," katanya.
Menurut Syatila, khabar duka mengenai pemergian Ahmad Naim begitu mengejutkan semua ahli keluarga.
Katanya, mereka tidak menyangka nahas yang berlaku itu turut meragut nyawa mangsa.
"Kami dihubungi bapanya jam 4 pagi memaklumkan arwah ditimpa kemalangan. Waktu itu antara percaya dengan tidak malah kami berkali-kali meminta bapanya memeriksa kesahihan maklumat itu.
"Sehinggalah kami dihubungi kembali jam 6 pagi dan mengesahkan ia benar. Kami sekeluarga masih terkejut, namun reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Ahmad Naim yang berasal dari Chukai di sini, antara lima penuntut yang rentung selepas terlibat kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora tengah malam Khamis.
Mangsa merupakan pelajar semester dua, Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Islam di universiti berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!