'Selamatkan kepentingan rakyat dulu bukannya syarikat gergasi' - Anwar
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kepentingan rakyat itu termasuk dari segi pekerjaan, pendidikan, harga barang dan kos sara hidup yang seharusnya menjadi keutamaan.
"Mengenai masa depan negara termasuk soal perubahan iklim, prasarana asas dan keprihatinan kepada rakyat ia juga perlu menjangkau semua kaum.
"Saya harap pandangan ini menjadi hala tuju negara yang baharu," katanya pada Debat Perdana yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
Debat itu mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Malaysia Gazette dan Sin Chew Daily.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, bagi memperbaiki hala tuju negara, kerajaan perlu terima kenyataan sebenar kemelut ekonomi yang berlaku dan kelemahan pengurusan ekonomi sekarang.
"Yang menjadi masalah defisit berterusan dari 1999 sehingga sekarang dan ia terus membengkak dengan serius.
"Hutang negara bertambah sehingga mencecah lebih RM1 trilion. Pertumbuhan ekonomi dan pelaburan asing tidak meyakinkan," katanya.
Justeru itu, beliau menjelaskan, bagi menyelesaikan permasalahan itu, aspek pengurusan negara perlu diperbetulkan.
"Saya yakin permulaan ini mestilah dengan pengurusan. Orang mual dengan politik sekarang ini dengan percaturan politik dan perebutan, pemunggahan kekayaan oleh pimpinan.
"Kalau disebut tentang pimpinan ia dikaitkan dengan kekayaan yang bercambah. Oleh demikian kita harus bawa semula keyakinan baharu untuk menyatakan bahawa politik dan pimpinan itu tak lari daripada amanah yang dipertanggungjawabkan dengan membersihkan negara dan akar umbi dari rasuah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!