Piala Thomas: Malaysia tersungkur di suku akhir
HASRAT Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir Piala Thomas tidak kesampaian apabila tumpas 3-2 kepada India sebentar tadi.
Malaysia bermula agak baik apabila jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia meraih mata pertama negara apabila menewaskan wakil India, Lakshya Sen 23-21, 21,9.
Bagaimanapun rentak kemenangan itu tidak dapat diteruskan apabila beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin akur tumpas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 19-21, 15-21 dalam tempoh masa 41 minit.
Ng Tze Yong yang turun sebagai perseorangan kedua pada perlawanan itu turut gagal mengumbang mata apabila tumpas kepada Srikanth Kidambi secara straight set 11-21 dan 17-21 dalam tempoh masa 41 minit.
Bagaimanapun gandingan 'scratch pair', Aaron Chia-Teo Ee Yi menyalakan sedikit harapan Malaysiauntuk ke separuh akhir Piala Thomas apabila menang ke atas pasangan India, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-19 dan 21-17 dalam tempoh masa 37 minit untuk mengikat kedudukan 2-2.
Namun segala-galanya berakhir buat skuad badminton lelaki negara apabila perseorangan ketiga negara Leong Jun Hao tewas kepada H.S Pranoy pada perlawanan penentuan 21-13, 21-8 sekaligus menyaksikan India layak ke separuh akhir pada kejohanan badminton tertua di dunia itu.
Kekalahan tersebut menyaksikan kemarau Piala Thomas Malaysia tiga dekad terus berterusan dengan kali terakhir memenanginya pada tahun 1992.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!