Bot guna teknologi satelit tingkat hasil tangkapan nelayan

Sim Tze Tzin
Sim Tze Tzin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berusaha memperkenalkan bot laut baharu yang menggunakan teknologi satelit kepada nelayan tempatan bagi meningkatkan hasil tangkapan ikan.

Timbalan Menteri berkenaan Sim Tze Tzin berkata bot itu akan memudahkan nelayan mengesan kewujudan lokasi ikan di laut, selain memberi penjimatan diesel.

“Vessel baharu ini akan menjadikan tangkapan ikan lebih efisien kerana mereka boleh terus ke tempat menangkap ikan dengan bantuan teknologi itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) yang bertanya mengenai langkah kerajaan untuk meningkatkan kualiti nelayan serta hasil tangkapan mereka.

Sim berkata nelayan dari Australia telah mengguna bot nelayan itu yang dibeli dari Malaysia, namun penerimaan daripada nelayan tempatan masih kurang memuaskan.

Sementara itu, Sim berkata pengeluaran perikanan tangkapan marin pada 2018 ialah 1.47 juta metrik tan dengan nilai RM11,385 juta, dengan Kelantan mencatatkan RM270.29 juta nilai hasil tangkapan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!