'Kita di landasan yang tepat'

Atlet terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang ketika perarakan masuk kontinjen Malaysia yang diketuai Chef-de-misson (CDM) ke Sukan SEA Hanoi 2021, Datuk Seri Nur Azmi Ahmad pada upacara pembukaan rasmi temasya sukan tersebut di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. - Foto Bernama
Atlet terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang ketika perarakan masuk kontinjen Malaysia yang diketuai Chef-de-misson (CDM) ke Sukan SEA Hanoi 2021, Datuk Seri Nur Azmi Ahmad pada upacara pembukaan rasmi temasya sukan tersebut di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. - Foto Bernama
A
A
A

KONTINJEN Malaysia harus memberikan fokus sepenuhnya bagi merealisasikan sasaran 36 pingat emas pada Sukan SEA Hanoi 2021 yang dibuka secara rasmi pada Khamis.

Perkara itu ditegaskan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2021, Datuk Nur Azmi Ahmad yang mahu kesemua atlet negara memberikan aksi terbaik masing-masing dalam usaha mencapai sasaran berkenaan.

“Setakat ini, sasaran kita masih sama dengan memenangi 36 pingat emas. Itu sasaran yang ditetapkan seperti mana yang diumum Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Alhamdulillah setakat ini, kita masih berada di landasan yang tepat bagi merealisasikan sasaran berkenaan hasil kejayaan barisan atlet terjun dan dua pesilat negara.

“Jadi diharapkan kesemua atlet negara dapat meneruskan kejayaan rakan-rakan mereka terutamanya daripada sukan terjun yang berjaya menghasilkan lapan pingat emas,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Nur Azmi (tengah) bergambar bersama Sazzlan (kiri) dan Mohd Taqiyuddin yang meraih pingat emas dalam acara seni ganda lelaki pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Sukan Bac Tu Leim pada Rabu. - Foto Bernama
Nur Azmi (tengah) bergambar bersama Sazzlan (kiri) dan Mohd Taqiyuddin yang meraih pingat emas dalam acara seni ganda lelaki pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Sukan Bac Tu Leim pada Rabu. - Foto Bernama

Penerjun cilik wanita, Nur Dhabitah Sabri muncul atlet pertama yang menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia apabila memenangi acara 1 meter (m) papan anjal wanita.

Dhabitah yang diberi kepercayaan membawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian pembukaan Sukan SEA Hanoi 2021 meraih emas kedua peribadinya bersama Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama wanita.

Sejak beberapa acara berlangsung sebelum majlis pembukaan Sukan SEA kali ini diadakan pada Khamis, kontinjen Malaysia telah merekodkan sembilan emas, tiga perak dan 11 pingat gangsa.

Selain lapan emas yang didominasi sepenuhnya penerjun negara, kontinjen Malaysia meraih satu emas di gelanggang pencak silat menerusi Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga dalam acara akhir ganda lelaki.

Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata, kejayaan skuad terjun negara menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan dalam acara itu turut membantu mencapai pentunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Dengan tercapainya KPI bagi acara terjun, saya akan mengadakan perjumpaan dengan kontinjen negara melibatkan ketua-ketua pasukan bagi membincangkan sasaran selanjutnya.

“Selepas KPI dalam acara terjun sudah tercapai, kita akan adakan perjumpaan dengan atlet dan pegawai bagi acara sukan yang lain untuk melihat satu persatu sasaran kita.

“Diharapkan kejayaan penerjun negara memberi semangat dan peluang kepada atlet-atlet yang baru datang supaya memastikan setiap hari kita mempunyai pingat emas,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!