Urusan jual beli Perak FC dijangka selesai dalam masa terdekat

Majlis MoU antara Perak FC dan XOX Berhad di Petaling Jaya pada 29 April lalu. Foto: FB Perak Football Club
Majlis MoU antara Perak FC dan XOX Berhad di Petaling Jaya pada 29 April lalu. Foto: FB Perak Football Club
A
A
A

SEGALA urusan dan perjanjian jual beli Perak FC yang dibuat sebelum ini dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Yunus Zakariah yang turut memberitahu ia bergantung kepada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah XOX Berhad (XOX) yang diadakan pada Khamis.

"Kami akan umumkan perkara ini (pengambil alihan kelab) dalam masa terdekat. Kalau tidak esok (Jumaat), saya difahamkan pada Isnin.

"Bagaimanapun keputusan tersebut hanya akan diketahui selepas mereka (XOX) mengadakan mesyuarat lembaga pengarah hari ini (Khamis)," katanya kepada Sukan Sinar.

Perak FC terselamat disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas kelab itu sah akan mendapat pemilik baharu tidak lama lagi.

Ia selepas skuad Bos Gaurus sudah pun 'diikat' XOX yang juga sebuah syarikat telekomunikasi selepas kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 29 April lalu.

Ketika ditanya berkenaan laporan yang mengatakan sebuah syarikat - JR Resources mahu mengemukakan saman kepada bekas pemilik Perak FC - Impact Media & Communications (IMC), Yunus memberitahu, pihaknya langsung tidak menerima apa-apa notis berhubung perkara itu.

"Saya tidak tahu mengenai soal JR Resources nak saman IMC sebab sampai sekarang kami belum terima apa-apa notis.

"Jadi saya tidak boleh komen lebih mengenai perkara itu lebih. Kali terakhir kami berhubung adalah ketika peguam kami hantar notis kepada mereka bahawa IMC tidak berminat untuk teruskan rundingan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!