Angkasa kukuhkan peranan 50 tahun akan datang

Abdul Fattah ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Jubli Emas dan Pelancaran Sambutan 51 Tahun Angkasa yang disiarkan secara dalam talian pada Khamis.
Abdul Fattah ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Jubli Emas dan Pelancaran Sambutan 51 Tahun Angkasa yang disiarkan secara dalam talian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mewujudkan Pelan Strategik Angkasa 50 (PESAN50) bagi mengukuhkan peranan badan koperasi itu untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pelan tersebut dibangunkan dengan mengambil kira matlamat memasyarakat dan membudayakan koperasi serta menjadikannya sebagai gaya hidup serta pilihan utama penduduk di negara ini.

“Selain itu, Angkasa turut memperkenalkan inisiatif lain bagi memperkasakan perniagaan koperasi di samping menyumbang kepada keperluan masyarakat khususnya dalam mendepani kos sara hidup.

“Projek Barang Asas 100 (BA100) digerakkan bagi membantu menaiktaraf perniagaan koperasi, dari perusahaan mikro ke sederhana, manual ke automatik dalam talian.

“Usaha serampang dua mata yang memberi manfaat kepada koperasi dan masyarakat ini membuktikan Angkasa sentiasa melaksanakan Prinsip Koperasi yang menjadi pegangan gerakan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Jubli Emas dan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-51 Angkasa yang disiarkan secara dalam talian pada Khamis.

Sambutan Ulang Tahun Angkasa Ke-51
Sambutan Ulang Tahun Angkasa Ke-51

Mengulas mengenai Sambutan Jubli Emas, Abdul Fattah berkata, Angkasa telah membangunkan terowong masa yang dipaparkan sebagai sebahagian daripada pameran di Muzium Koperasi Malaysia.

Katanya, terowong tersebut memaparkan sejarah dan tarikh penting sejak penubuhan koperasi itu hingga kini yang mana peranannya telah diiktiraf oleh koperasi luar negara.

“Diharapkan terowong masa ini dapat memberi gambaran kepada generasi seterusnya berkenaan usaha dan pengorbanan pemimpin terdahulu dalam membina kejayaan organisasi ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah turut memaklumkan, Angkasa sentiasa meneruskan tanggungjawabnya menjayakan agenda pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan kerajaan.

Usaha ini dibuat bagi memastikan ia memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi selain menyumbang kepada kesejahteraan sosial rakyat.

“Antaranya termasuklah Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 -2025 (TransKom), Dasar Keusuhawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan juga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!