Mata kanan gelap tiba-tiba ketika belajar

Siti Hajar menunjukkan mata kanan yang kini bermasalah sehingga menyebabkannya sakit kepala. Gambar kecil, rajah mata menunjukkan sebelah kanan tidak dapat berfungsi seperti biasa.
Siti Hajar menunjukkan mata kanan yang kini bermasalah sehingga menyebabkannya sakit kepala. Gambar kecil, rajah mata menunjukkan sebelah kanan tidak dapat berfungsi seperti biasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar aktif dalam akademik dan sukan hilang penglihatan mata kanan secara tiba-tiba ketika sedang berada di dalam kelas sebulan lalu.

Masalah penglihatan Siti Hajar Zaidi, 15, dikesan apabila dia mengalami simptom pening dan mata kabur sebelum pandangan gelap lalu mengadu kepada guru, Zaini Salleh.

Kejadian itu menyebabkan calon Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) yang juga pelajar harapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amanjaya berkenaan menganggap masa depannya turut gelap.

Ibunya, Zunaidah Saad, 46, berkata, Siti hajar yang aktif dalam sukan olahraga serta mewakili sekolah dalam acara larian jarak dekat dan hoki peringkat daerah itu dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim.

"Dia juga dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Kuala Lumpur selain ditahan wad selama 18 hari bagi mendapatkan pengawasan doktor.

“Sampai sekarang, pihak hospital tak dapat sahkan secara rasmi penyakit dialami. Sebelum ini kami diberitahu saraf belakang matanya bengkak dan seolah-olah pecah pembuluh darah,” katanya.

Menurutnya, pekerjaan sebagai pembantu gerai yang menerima upah RM25 hingga RM30 sehari terjejas kerana sudah lama bercuti bagi menguruskan anak ketiga dari lima beradik itu.

"Dua kakak Siti Hajar berusia 19 dan 20 tahun bekerja sebagai pembantu kedai kek dan pembantu taska untuk tampung perbelanjaan keluarga memandangkan saya ibu tunggal.

Artikel Berkaitan:

"Dua adiknya murid Sekolah Kebangsaan Ambangan Height. Seorang adik berusia 12 tahun berada di aliran pendidikan khas kerana bermasalah pembelajaran manakala seorang lagi berusia 10 tahun," katanya.

Ahli kelab DG Bikers bersama guru sekolah hadir menyerahkan sumbangan kepada Siti Hajar.
Ahli kelab DG Bikers bersama guru sekolah hadir menyerahkan sumbangan kepada Siti Hajar.

Zunaidah, berkata, Siti Hajar kini berperang dengan kesakitannya namun enggan mengabaikan pelajaran dan tetap menduduki ujian baru-baru ini walaupun masih cuti sakit.

“Biarpun tengah sakit tetapi semangatnya kuat, masih baca buku dan buat kerja sekolah. Dia nak juga ke sekolah ambil ujian walaupun sakit.

"Kadang-kadang tidur malamnya terganggu kerana kesakitan yang ditanggung sehingga tak boleh tidur sebab sakit kepala yang teruk,” katanya.

Bagaimanapun, dia yang juga penerima zakat berjumlah RM200 sebulan itu bersyukur apabila menerima kunjungan ahli kelab motosikal berkuasa tinggi warga pendidik negeri Kedah.

Kelab itu melalui DG Bikers bersama guru sekolah melakukan Ziarah Cakna ke rumahnya di Taman Seri Bayu bagi meringankan beban dan menyerahkan sumbangan hasil kutipan berjumlah RM1,700.

Kunjungan itu turut disertai Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman; Pengetua SMK Amanjaya, Zainurin Mat Noor dan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Abdul Rahim Mat.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Zunaidah (102054 653 497).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!