Wanita mengaku salah cederakan polis guna penyapu
MELAKA - Gara-gara gagal mengawal kemarahan, seorang penganggur wanita didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencederakan seorang anggota polis berpangkat Koperal, minggu lalu.
Tertuduh, Hasrina Osman, 42, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Berdasarkan pertuduhan, Hasrina didakwa dengan sengaja mencederakan Muhammad Taufik Sayutin semasa dia melakukan tugasnya sebagai seorang penjawat awam yang sah.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya lebih kurang jam 10.45 malam pada 7 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian tertuduh mengamuk dengan memecahkan barang dan menyuruh abangnya menghantarnya ke rumah ibu mereka di Paya Jaras, Shah Alam.
Abangnya yang tidak dapat mengawal keadaan menghubungi Balai Polis Banda Hilir di sini untuk mendapatkan bantuan dan mangsa ke lokasi kejadian.
Tertuduh kemudian bertindak agresif dengan mencederakan mangsa menggunakan batang penyapu sehingga menyebabkan kecederaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa'ari memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius kerana ia membabitkan penjawat awam.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman tertuduh diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatan tersebut.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh untuk membayar denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara, jika gagal bayar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!