'Nasrun selalu azan, jadi imam jemputan solat tarawih' - Ibu

Maizatulakmam menatap gambar Muhammad Nasrun ketika ditemui di Hotel Casuarina Kuala Kangsar yang menjadi lokasi penginapan waris mangsa. (Gambar kecil: Muhammad Nasrun)
Maizatulakmam menatap gambar Muhammad Nasrun ketika ditemui di Hotel Casuarina Kuala Kangsar yang menjadi lokasi penginapan waris mangsa. (Gambar kecil: Muhammad Nasrun)
A
A
A

KUALA KANGSAR - Melaungkan azan dan menjadi imam jemputan solat tarawih antara amalan mulia yang sering dilakukan Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora Rabu lepas.

Ibu Muhammad Nasrun, Maizatulakmam Md Taha, 55, berkata, amalan itu bukan sahaja dipraktikkan di surau taman kediaman mereka di Taman Desa Bukit Bujang, Kuala Kubu Bharu, malah di masjid berhampiran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini.

"Setiap kali Ramadan, memang jadual arwah penuh sebagai imam jemputan untuk tarawih. Macam bulan puasa baru ni, dia jadi imam untuk masjid di Kampung Talang di sini sebab ada kuliah.

"Kalau kebetulan cuti semester, dia jadi imam di beberapa surau dan masjid sekitar Kuala Kubu Bharu, bergantung kepada jemputan yang diterima," katanya ketika ditemui di Hotel Casuarina Kuala Kangsar di sini yang menjadi lokasi penginapan waris mangsa.

Maizatulakmam berkata, meskipun perwatakan arwah seperti 'ustaz rock' kerana gemar memakai topi dan kemeja-T, Muhammad Nasrun mempunyai jiwa murni untuk mengimarahkan masjid dan surau.

"Kalau balik kampung, memang dia lah azan di surau setiap kali masuk waktu solat, sampaikan orang-orang kampung boleh kenal dah suara dia.

"Keperibadian yang ditonjolkan arwah sangat menyenangkan kami sebagai ibu bapa," katanya.

Pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam USAS itu khatam hafazan al-Quran 10 juzuk ketika berada di Tingkatan 6 dan aktif menyertai hafazan serta tilawah sejak di bangku sekolah lagi.

Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada dua beradik turut aktif dalam qasidah dan aktiviti nasyid hingga berjaya menubuhkan beberapa kumpulan nasyid dan dijemput sebagai guru nasyid di sekolah-sekolah.

Maizatulakmam yang merupakan guru Bahasa Arab di Sekolah Menengah Syed Mashor, Batang Kali berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya adalah pada Ahad lepas.

Katanya, arwah ketika itu pulang sebentar ke rumah kerana mahu bertemu dengan saudara mara dan sepupu yang pulang ke kampung sempena cuti raya.

"Arwah seorang yang suka menyenangkan orang lain, bukan sahaja kalangan keluarga tetapi kawan-kawan juga termasuk kalangan bukan Islam sampaikan ada antara mereka pun ikut berpuasa dengan dia," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 malam itu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Selain Muhammad Nasrun, empat lagi rakannya yang terkorban adalah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Setakat Khamis, proses bedah siasat ke atas Ahmad Naim Najmi dari Kemaman, Terengganu dan Ahmad Akmal dari Parit Buntar yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, selesai.

Bedah siasat ke atas tiga lagi mangsa dijalankan di Hospital Taiping pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!