Johor sedia lakukan pembenihan awan
SIMPANG RENGGAM - Kerajaan Johor berkemungkinan melakukan pembenihan awan sekiranya cuaca panas berpanjangan sehingga menjejaskan paras air di empangan negeri ini.
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, beliau tidak menafikan prosedur tersebut mungkin akan dilakukan.
"Memang, saya baru sahaja bincang. Itu satu prosedur atau usaha yang mungkin kita akan buat. Saya tidak menafikan.
"Tetapi pembenihan awan ini, dia punya 'success rate' agak rendah dan kita kena (lakukan di) tempat yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Empangan Machap di sini hari ini.
Wee Tse berkata, pada masa kini, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan sentiasa membuat pemantauan keadaan cuaca dalam tempoh minggu ini.
"Sekiranya cuaca dalam minggu ini tidak membantu, maka awal bulan depan kita kena tengok isu ini (kemungkinan melakukan pembenihan awan)," katanya.
Menurutnya, beliau ada dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa pada masa kini merupakan fasa peralihan monsun dengan jangkaan adanya hujan terutama di negeri ini.
"Kita boleh nampak cuaca mungkin ada satu perubahan. Diharapkan dengan taburan hujan yang cukup, kita boleh mengelakkan daripada apa-apa gangguan bekalan air.
"Memang sekarang kita sampai satu tahap yang agak kritikal, tetapi semuanya terkawal dan tertakluk kepada cuaca yang akan datang," katanya.
Beliau berkata, sekiranya cuaca mengizinkan, kerajaan negeri jangka tiada sebarang gangguan bekalan air ke atas LRA Simpang Renggam yang membekalkan air untuk hampir 125,000 pengguna di sekitar Pontian Utara dan Simpang Renggam.
Selain itu, Wee Tse berharap rakyat Johor memahami keadaan semasa yang disifatkan sebagai cuaca luar biasa, dan kerajaan sedang melakukan segalanya untuk mengelakkan sebarang gangguan bekalan air.
"Pada masa sama saya sudah berbincang dengan Ranhill SAJ, kita akan menambahkan usaha untuk kempen kesedaran untuk jimat air," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!