Wushu sumbang dua emas
ATLET Malaysia terus beraksi cemerlang pada Sukan SEA Hanoi 2021 apabila menghasilkan dua lagi pingat emas dalam sukan wushu pagi tadi.
Pingat emas ke-10 negara disumbangkan atlet wushu, Clement Ting Su Wei dalam acara Changquan (lelaki).
Clement Ting mencatatkan 9.70 mata untuk menewaskan pencabar-pencabar lain bagi acara berkenaan.
Kejayaan Clement Ting itu berjaya menyemarakkan semangat seorang lagi atlet wushu negara, Tan Zhi Yan untuk meraih emas ke-11 negara dalam acara Taijiquan (lelaki).
Zhi Yan mencatatkan 9.71 mata dalam acara berkenaan bagi mengenepikan pencabar-pencabar lain.
Kecemerlangan atlet negara dalam sukan wushu, diteruskan lagi apabila Calvin Lee Wai Leong meraih perak dalam acara Nandao (lelaki) apabila mencatatkan 9.68 mata.
Ternyata debut ketiga-tiga atlet wushu lelaki negara pada Sukan SEA kali ini tidak menghampakan apabila berjaya merangkul pingat emas sekali gus melangkaui jangkaan pihak pengurusan.
Bagaimanapun bagi atlet wushu wanita, Pang Pui Yee yang beraksi dalam acara Jianshu manakala Lee Jia Rong yang beraksi dalam acara Gunshu, perlu menunggu satu lagi acara bagi mengetahui keputusan penuh acara yang disertainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!