Tiga beradik terharu terima rumah
KUANTAN - Tiga beradik terharu menerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang dinamakan atas nama bapa mereka, Allahyarham Jonaidi Hassan yang meninggal dunia Oktober tahun lalu pada usia 44 tahun.
Muhammad Hairil Syafiq Jonaidi,18, tidak pernah menyangka berpeluang menerima bantuan rumah selepas hampir setahun mendiami rumah usang dengan bumbung bocor di Kampung Seri Damai di sini.
Menurutnya, arwah bapanya tidak pernah memaklumkan pernah membuat permohonan pembinaan rumah.
"Kami mendapat tahu arwah ayah dapat rumah secara percuma selepas dihubungi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Rumah itu dibina di atas tanah peninggalan arwah. Kami bersyukur kerana tidak perlu lagi tinggal di rumah usang.
"Terima kasih kepada semua termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud yang membantu merealisasikan hasrat arwah ayah yang mahu memiliki rumah sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Damai pada Jumaat.
Muhammad Hairil Syafiq yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta mengakui tidak pernah terfikir memulakan kehidupan di rumah baharu kerana selama ini hidup dalam serba kekurangan.
Dia juga mahu melupakan kesengsaraan dan memulakan hidup baru di rumah baharu.
"Saya rasa tidak percaya dapat tinggal di rumah berlantaikan mozek, lengkap dengan kipas angin dan boleh tidur di atas katil dalam bilik sendiri.
"Perasaan semua bercampur dan saya bersyukur dapat kehidupan yang lebih baik," katanya.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, pendapatan RM1,000 itu digunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup sehari- hari selain menanggung keluarga.
Jelasnya, dua adiknya, Muhammad Amir Hamzah, 17, dan Muhammad Amirul Azran, 16, juga sudah bekerja kerana tidak mampu meneruskan persekolahan selepas kematian bapa mereka akibat penyakit darah tinggi.
"Dua lagi adiknya, Zulaika Jonaidi, 9, pula mengikuti ibu mereka berhijrah ke Sibu, Sarawak manakala adik bongsunya, Muhammad Amar Qayyum, 3, berada di bawah jagaan keluarga angkat di Felda Jengka 7," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!