WBB akan ditambah baik, atasi kacau ganggu

Shahidan (tiga dari kiri) bergambar bersama penghuni Akademi Tahfiz Hidayah yang menerima sumbangan Syawal daripada PPTGWP bersama Yayasan Wilayah Persekutuan.
Shahidan (tiga dari kiri) bergambar bersama penghuni Akademi Tahfiz Hidayah yang menerima sumbangan Syawal daripada PPTGWP bersama Yayasan Wilayah Persekutuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Inisiatif Wilayah Bebas Niaga (WBB) akan ditambah baik bagi memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, banyak aduan kacau ganggu diterima apabila peniaga bebas memilih lokasi berniaga melalui lesen yang diberikan.

Menurutnya, penstrukturan semula program itu perlu dilakukan mengikut kesesuaian dan perkembangan semasa fasa peralihan endemik.

"Sebelum ini kita memberi lesen bebas berniaga dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ramai yang tidak boleh berniaga.

"Kini, bukan saja boleh berniaga tetapi keadaan sudah riuh rendah (terlalu ramai), " katanya ketika Majlis Amanat Menteri Wilayah Persekutuan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita sama ada inisiatif WBB yang dijangka tamat pada Jun depan akan diteruskan atau sebaliknya.

Mengulas lanjut katanya, perkara itu sedang diperhalusi dan akan diumumkan apabila tiba masanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bilangan peniaga akan dihadkan, beliau menjelaskan jumlah peniaga tidak akan dikurangkan sebaliknya akan ditambah.

"Cuma peniaga tidak lagi bebas memilih lokasi tetapi akan ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kita tidak mahu apabila kita beri lesen niaga tetapi memberi kesan kepada orang awam. Ketenteraman orang awam tidak boleh diabaikan," katanya.

Tambahnya, tapak lokasi perniagaan telah dikenal pasti dan akan dimaklumkan kemudian.

Inisiatif WBB dilaksanakan sejak November 2020 bagi membolehkan orang ramai di Wilayah Persekutuan membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan sesuai secara percuma.

Program itu dilaksanakan ketika Tan Sri Annuar Musa menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan bertujuan membantu warga kota yang terjejas atau hilang pekerjaan sepanjang pandemik Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!