Bedah siasat tiga lagi jenazah pelajar USAS selesai

Jenazah tiga lagi pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan tragis selepas Terowong Menora, Rabu lepas dijangka dapat dituntut waris keluarga pada Jumaat. - Foto Bernama
Jenazah tiga lagi pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan tragis selepas Terowong Menora, Rabu lepas dijangka dapat dituntut waris keluarga pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGAAR - Jenazah tiga lagi pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan tragis selepas Terowong Menora, Rabu lepas dijangka dapat dituntut waris keluarga pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, proses bedah siasat yang dijalankan ke atas ketiga-tiga mangsa di Hospital Taiping telah selesai.

Menurutnya, pihak hospital kini sedang membuat pemeriksaan dental bagi mengesahkan identiti mangsa.

"Data-data mengenai rekod pergigian mangsa telah diperoleh. Polis dimaklumkan proses ini memerlukan tempoh masa antara dua ke tiga jam," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Jumaat.

Sekitar jam 9 pagi pada Jumaat, jenazah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Iqbal Hasnun Halimi, 23, dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dibawa ke Hospital Taiping untuk mempercepatkan proses bedah siasat yang turut dibantu pakar dari Hospital Kuala Lumpur.

Pada Khamis, proses bedah siasat ke atas mayat dua daripada lima mangsa yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, selesai.

Identiti kedua-dua mangsa iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu dan rakannya, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar telah dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemui pada mayat.

Jenazah dua sekawan itu telah dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS pada malam Khamis untuk solat jenazah selepas solat Isyak dan selamat dikebumikan di kampung masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!