Polis Perak pastikan anggota bebas dadah
IPOH - Polis Perak akan memastikan pegawai dan anggotanya bebas dari penyalahgunaan dadah serta aktiviti tidak bermoral.
Ketuanya, Datuk Razarudin Hussain berkata, bagi tujuan itu, beberapa perancangan dibuat terutama kembali kepada perkara asas.
Beliau berkata, semua ketua polis balai memantau pergerakan anggota yang bertugas melalui roll-call.
"Setiap bulan ketua polis daerah pula akan buat roll-call secara rawak untuk memastikan pegawai dan anggota masih bertugas di dalam daerah.
"Selain itu, ketua polis daerah juga telah diarahkan untuk menentukan secara rambang ataupun jika kita mempunyai maklumat anggota yang dirasai terlibat dengan dadah ini akan diminta membuat saringan air kencing," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Perak dan Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini.
Sementara itu, Razarudin berkata, dari segi kes jenayah pula, pihaknya akan menumpukan usaha menangani kegiatan pecah rumah yang semakin meningkat.
Katanya, bagi jenayah jalanan pula, berlaku penurunan kes di negeri ini.
Mengenai majlis tersebut, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya yang mewakili Ketua Polis Negara berkata, gandingan Ketua Polis Perak dan Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu akan menampakkan anjakan ke arah lebih positif untuk memberikan perkhidmatan kepolisan terbaik untuk negeri Perak.
Razarudin sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Perak sebelum memangku jawatan Ketua Polis Perak selepas Datuk Hasnan Hassan bersara wajib pada November tahun lalu.
Manakala bekas Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Pematuhan Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Lim Hong Shuan dilantik Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!