KPKT lulus tiga syarikat kredit komuniti beri pinjaman dalam talian

Senarai syarikat Kredit Komuniti diberikan kelulusan untuk menjalankan urus niaga pemberian pinjaman wang secara dalam talian akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Gambar hiasan
Senarai syarikat Kredit Komuniti diberikan kelulusan untuk menjalankan urus niaga pemberian pinjaman wang secara dalam talian akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga Syarikat Kredit Komuniti yang juga pemegang lesen Pemberi Pinjam Wang sedia ada diberikan kebenaran tambahan untuk menjalankan urus niaga pemberian pinjaman wang secara dalam talian.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan, syarikat terbabit adalah JCL Credit Leasing Sdn. Bhd; Seamoney Capital Malaysia Sdn. Bhd dan Melati Panorama Sdn.Bhd yang semuanya beralamat di sini.

"Kebenaran itu diberikan bagi memastikan perlindungan kepada peminjam serta Syarikat Kredit Komuniti melalui kaedah pemberian pinjaman secara dalam talian yang lebih telus dan berintegriti serta mematuhi peruntukan ditetapkan," menurut kenyataan KPKT, pada Jumaat.

Menurut KPKT, mana-mana Syarikat Kredit Komuniti yang menjalankan urus niaga pemberian pinjaman wang secara dalam talian tanpa lesen boleh didenda atau penjara atau kedua-duanya berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

Senarai syarikat Kredit Komuniti yang diberikan kelulusan untuk menjalankan urus niaga pemberian pinjaman wang secara dalam talian akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan maklumat terkini boleh diperolehi melalui laman web www.kpkt.gov.my.

"Orang awam boleh menghubungi talian 03-8891 4667/4662/4695/4694/4682/4683 atau mengemukakan pertanyaan melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT di pautan aduan.kpkt.gov.my untuk maklumat lanjut," menurut kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!