Al-Jufferi ketuai empat pesilat negara ke separuh akhir

Mazlan mengangkat Al Jufferi yang mengalami kecederaan dan kesakitan pada perlawanan suku akhir Silat Tanding Kategori Lelaki F menentang Iqbal Candra pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Gelanggang Silat Pusat Sukan Bac Tu Leim pada Jumaat. - Foto Bernama
Mazlan mengangkat Al Jufferi yang mengalami kecederaan dan kesakitan pada perlawanan suku akhir Silat Tanding Kategori Lelaki F menentang Iqbal Candra pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Gelanggang Silat Pusat Sukan Bac Tu Leim pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari mengetuai kemaraan empat wakil negara ke peringkat separuh akhir acara silat tanding pada Sukan SEA Hanoi 2021 pada Jumaat.

Juara dunia tiga kali Mohd Al-Jufferi, mara dalam kelompok empat pesilat terbaik dalam kelas F (70-75 kilogram (kg)) setelah menumpaskan pencabarnya dari Indonesia Iqbal Candra Pratama, pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Bac Tu Liem.

Namun, kemaraan pemenang pingat emas empat kali temasya Sukan SEA itu bukannya mudah, tambahan pula beraksi dalam penampilan sulung bagi kategori 70-75kg apabila diberi tentangan sengit sehingga ke akhir pertarungan.

Malah, kecederaan dialami pesilat berusia 30 tahun itu di bahagian bahu kanan ketika di pusingan kedua, juga mendebarkan kem silat negara sebelum beliau mencatat kemenangan 53-51.

Sebelum ini, Mohd Al-Jufferi menguasai kelas E (65-70kg) apabila meraih emas pada edisi 2011 di Indonesia, Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

Untuk rekod, edisi Filipina 2019 menyaksikan Mohd Al Jufferi tidak menyertai temasya berkenaan.

Tiga lagi wakil negara yang layak ke separuh akhir ialah Muhammad Khairi Adib Azhar dalam kelas B Lelaki (50-55kg), Mohamad Hazim Amzad bagi kelas C Lelaki (55-60kg) dan Ahmad Atif Irshad Ahmad Zahidi untuk kelas D Lelaki (60-65kg).

Muhammad Khairi mengesahkan tempat ke separuh akhir setelah mengalahkan Bo Thamma Vongsa dari Laos, 68-25, manakala Mohamad Hazim menumpaskan pesilat Thailand Phiraphon Mittahasan, 51-49.

Ahmad Atif Irshad turut mara ke separuh akhir apabila lawannya Mark James Lacao, dibatalkan penyertaan ketika pertarungan baru bermula dengan kedudukan 5-1 berpihak kepada pesilat negara.

Juri membuat keputusan tersebut setelah mendapati tindakan pesilat dari Filipina itu melepaskan tumbukan ke arah muka Ahmad Atif Irshad sehingga tidak dapat meneruskan pertarungan adalah menyalahi peraturan.

Sementara itu, jurulatih negara Mazlan Shaari berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang semakin selesa dengan teknik baharu diterapkan berikutan pelaksanaan sepenuhnya peraturan baharu dalam acara silat tanding pada temasya Sukan SEA kali ini.

Beliau berharap momentum itu dapat diteruskan apabila pesilat negara beraksi dalam saingan separuh akhir pada Ahad.

Malah, beliau berkata kecederaan dialami Mohd Al-Jufferi serta Ahmad Atif Irshad tidak serius dan kedua-dua pesilat itu dapat meneruskan aksi mereka di Hanoi. - BERNAMA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!