Choong Hann puji prestasi Zii Jia

Zii Jia ketika berdepan Sen pada perlawanan suku akhir Piala Thomas 2022 di Impact Arena Bangkok pada Khamis. -Foto Bernama
Zii Jia ketika berdepan Sen pada perlawanan suku akhir Piala Thomas 2022 di Impact Arena Bangkok pada Khamis. -Foto Bernama
A
A
A

PENGARAH Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann memuji prestasi cemerlang jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia dalam kempen Piala Thomas 2022 pada kali ini.

Malah Choong Hann turut mengakui perseorangan kedua dan ketiga India Srikanth Kidambi dan Prannoy HS. jauh lebih handal daripada Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao.

Choong Hann percaya kekalahan itu telah memberi anak buahnya pengajaran bahawa mereka perlu mempunyai ‘semangat yang tinggi dan kekuatan’ untuk bermain pada peringkat tinggi pada masa depan.

"Kenyataan yang pahit ialah saya percaya bahawa pemain kita akan belajar daripada pengalaman ini kerana sukar bagi mereka untuk melihat lawan meraikan kejayaan di depan mata, serta intensiti semua perlawanan,” katanya.

India mengakhiri cabaran Malaysia pada saingan Piala Thomas 2022 apabila mengejutkan juara lima kali itu 3-2 dalam perlawanan suku akhir untuk mara ke separuh akhir buat pertama kali di kejuaraan berprestij badminton dunia tersebut.

Pada perlawanan itu, Zii Jia memulakan langkah kanan skuad negara apabila menewaskan Sen 23-21, 21-9

Bagaimanapun, India berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mempamerkan aksi mengagumkan yang mengakhiri persembahan menarik Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada kejohanan kali ini dengan kemenangan 21-19, 21-15 dalam masa 41 minit.

Kemenangan Satwiksairaj-Chirag menaikkan semangat perseorangan kedua India, Srikanth Kidambi untuk menundukkan bintang negara yang sedang meningkat naik Ng Tze Yong, 21-11, 21-17.

Bagaimanapun kemunculan beregu negara seterusnya yang diwakili Aaron dan Teo Ee Yi tidak mengecewakan apabila menjinakkan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud 21-19, 21-17 seterusnya menyamakan kedudukan 2-2.

Setelah menyamakan kedudukan, nasib pasukan negara terletak di tangan Leong Jun Hao, namun pemain tersebut gagal untuk menyumbang mata kemenangan apabila dijinakkan Prannoy HS, 21-13 21-8 sekali gus mengakhiri kemaraan Malaysia dalam edisi Piala Thomas kali ini.

Kali terakhir skuad negara merangkul kejuaraan Piala Thomas adalah pada edisi 1992 Kuala Lumpur diikuti pencapaian terbaik selepas itu muncul empat kali naib juara pada edisi 1994 di Jakarta, Indonesia, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!