Solat jenazah tiga mangsa terakhir di Masjid USAS
KUALA KANGSAR - Tiga jenazah terakhir pelajar yang rentung dalam kemalangan berhampiran Terowong Menora, di sini dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar pada Jumaat untuk solat jenazah.
Jenazah Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang tiba di masjid berkenaan disambut oleh pelajar dan jemaah yang hadir.
Solat jenazah tersebut disempurnakan sejurus tiba dari Hospital Taiping kira-kira jam 11.20 malam sebelum dituntut oleh waris masing-masing.
Allahyarham Muhamad Nabil Haikal yang pelajar Diploma Pendidikan USAS akan dibawa pulang ke Nilai, Negeri Sembilan bagi urusan pengebumian manakala Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasnun masing-masing akan dibawa ke Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Senai, Johor.
Sekitar jam 9 pagi Jumaat, ketiga-tiga jenazah dibawa ke Hospital Taiping untuk mempercepatkan proses bedah siasat yang turut dibantu pakar dari Hospital Kuala Lumpur.
Pada Khamis, proses bedah siasat ke atas mayat dua daripada lima mangsa yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, selesai.
Identiti kedua-dua mangsa iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu dan rakannya, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar telah dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemui pada mayat.
Jenazah dua sekawan itu telah dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS pada malam Khamis untuk solat jenazah selepas solat Isyak dan selamat dikebumikan di kampung masing-masing.
Dalam kejadian sekitar jam 12.52 malam Khamis, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.
Beberapa video kejadian itu dikongsi pengguna lebuh raya di media sosial menunjukkan keadaan api marak disusuli beberapa letupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!