Hanoi 2021: Malaysia terlepas peluang raih gangsa
KEKECEWAAN jelas terpancar pada wajah gimnas artistik negara apabila terlepas peluang meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara berpasukan pada Sukan SEA Hanoi di Gimnasium Quan Ngua pada Jumaat.
Ketika skuad negara dibarisi Luqman Al Hafiz Zulfa, Ng Chun Chen, Zulbahrin Mat Asri, Tan Fu Jie, Teoh Chuen Feng dan Muhammad Sharul Aimy sudah berkira-kira pingat gangsa dalam genggaman, bantahan dilakukan lawan menafikan hasrat mereka itu.
Skuad bimbingan Ng Shu Liang itu sekadar mengutip keseluruhan 295.850 mata.
Pingat emas dimenangi tuan rumah, Vietnam yang mengumpul 331.250 mata manakala Filipina dan Singapura masing-masing meraih perak dan gangsa setelah mengutip 301.600 dan 297.650 mata.
Ketika ditemui pemberita, Ng berkata, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang majoriti pertama kali membuat penampilan pada temasya Sukan SEA biarpun gagal meraih pingat.
Beliau berkata, prestasi ditampilkan barisan gimnas negara memberi petanda positif mereka berpotensi menghasilkan keputusan yang lebih baik pada kejohanan akan datang.
"Tumpuan kita selepas ini dalam acara all-around individu. Luqman dan Chun Chen yang pertama kali menyertai Sukan SEA juga menunjukkan prestasi yang baik dan saya harap mereka dapat mempamerkan prestasi terbaik dalam acara tersebut,” kata Ng. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!