Sanggup risiko diri buat laporan palsu

Abd Khalid
Abd Khalid
A
A
A

SUBANG JAYA - Walaupun menyedari implikasi serta tindakan undang-undang bakal dihadapi, namun masih ada segelintir masyarakat yang sanggup merisikokan diri dengan membuat laporan palsu.

Lebih mengejutkan, warga tempatan antara individu tertinggi yang dicatatkan terlibat dalam kejadian jenayah melibatkan laporan palsu ini.

Ada yang membuat laporan palsu ini semata-mata atas dasar kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesan kepada diri sendiri.

Mendedahkan kepada Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kadar jenayah terkini melibatkan laporan palsu di kawasan berkenaan secara puratanya mencatatkan peningkatan sejak tahun 2020 sehingga 2021.

“Berdasarkan siasatan dijalankan, kadar kes melibatkan laporan palsu ini mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 12 kes pada tahun 2020.

“Angka ini sekali gus meningkat secara mendadak kepada 33 kes pada tahun 2021 dan untuk statistik terkini yang dicatatkan sehingga April, sebanyak empat kes tahun ini,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian berkaitan jenayah melibatkan laporan palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya baru-baru ini.

Abd Khalid ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian di IPD Subang Jaya baru-baru ini.
Abd Khalid ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian di IPD Subang Jaya baru-baru ini.

Abd Khalid berkata, secara umumnya, setiap orang termasuk bukan warganegara berhak membuat laporan polis atas pelbagai perkara termasuk kes jenayah, komersil, narkotik, sivil dan sebagainya.

“Apabila kaunter aduan menerima laporan, anggota polis yang bertugas akan menghubungi cawangan berkaitan untuk memaklumkan kes berkenaan bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dibuka di bawah undang-undang Malaysia sedia ada dan tangkapan terhadap suspek serta pertuduhan di mahkamah akan dibuat setelah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kebiasaannya, pegawai penyiasat akan merakam percakapan pengadu dan saksi-saksi sebelum kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut.

“Rakaman percakapan terhadap pengadu dan saksi-saksi juga akan dilakukan bagi mengenal pasti kesahihan kes,” katanya.

Tambahnya, polis juga akan membawa pengadu melawat tempat kejadian.

“Selain itu, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian juga akan dijalankan jika ada dan kesan saksi-saksi yang berkaitan.

“Jika laporan polis yang dibuat adalah betul, maka siasatan lanjut akan dijalankan dengan tindakan susulan iaitu kertas siasatan dibuka, suspek ditangkap dan dituduh di mahkamah,” katanya.

Faktor pendorong

Jelasnya, terdapat pelbagai faktor menjadi antara punca segelintir individu membuat laporan palsu.

“Antara kes yang dikesan adalah untuk mengelakkan daripada membayar denda kepada jabatan kerajaan kerana kehilangan dokumen seperti kad pengenalan, lesen memandu, pasport, kad bank, kad kredit dan lain-lain dokumen.

“Selain itu, terdapat kes laporan palsu dibuat untuk mendapatkan tuntutan insurans berkaitan kehilangan kenderaan,” katanya.

Malah Abd Khalid berkata, terdapat juga individu bertindak membuat laporan palsu semata-mata untuk menjaga nama baik sendiri dan keluarga yang berkaitan dengan pergaduhan antara keluarga, mendapatkan hak penjagaan anak, mendapatkan sumbangan, derma daripada pihak kebajikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Polis Subang Jaya sentiasa tegas dalam membanteras jenayah melibatkan laporan palsu.
Polis Subang Jaya sentiasa tegas dalam membanteras jenayah melibatkan laporan palsu.

“Selain itu, terdapat kes individu membuat laporan untuk mengelak diri ditangkap polis dengan membuat laporan mengatakan bahawa telah menjadi mangsa atau saksi sesuatu kejadian sedangkan mereka sendiri yang merupakan suspek utama,” katanya.

Siasatan

Beliau berkata, rata-rata masyarakat tidak sedar bahawa laporan palsu yang dibuat mungkin boleh memakan diri sendiri kerana polis teliti dalam menjalankan siasatan dari pelbagai sudut.

“Jika siasatan lanjut dijalankan oleh pegawai penyiasat dan mendapati laporan palsu telah dibuat oleh pengadu, maka satu laporan polis akan dibuat oleh pegawai penyiasat itu.

“Laporan polis yang dibuat akan menjurus kepada hasil soal siasat, lawatan tempat kejadian dengan meneliti rakaman CCTV dan keterangan saksi-saksi.

“Amaran akan diberikan kepada mereka yang membuat laporan polis palsu supaya tidak lagi mengulangi kesilapan dibuat,” katanya.

Katanya, kertas siasatan akan dibuka jika perlu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang boleh mendatangkan bencana kepada seseorang lain.

Tegasnya, masyarakat diingatkan agar tidak sesekali terlibat dalam jenayah laporan palsu.

“Saya menasihati kepada mereka yang ingin membuat laporan palsu untuk apa jua tujuan supaya hentikan niat ini kerana hal ini akan terbongkar pada akhirnya.

“Tidak wajar membuat laporan polis semata-mata untuk mengelak daripada dikenakan tindakan denda oleh jabatan kerajaan atau tuntutan insurans,” katanya.

Abd Khalid meninjau anggotanya sedang menerima laporan polis daripada orang awam.
Abd Khalid meninjau anggotanya sedang menerima laporan polis daripada orang awam.

Abd Khalid berkata, masyarakat khususnya di Subang Jaya perlu mengelakkan diri terlibat dalam jenayah laporan palsu.

“Saya menyeru kepada orang ramai khususnya penduduk Subang Jaya supaya hentikan perbuatan membuat laporan palsu dan sama-sama membantu pihak berkuasa menjadi mata dan telinga bagi mencegah jenayah yang berlaku.

“Kerjasama daripada semua pihak akan membantu polis dalam mencegah jenayah dan mengekalkan keamanan khususnya di daerah Subang Jaya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!