Debat wujudkan budaya politik lebih tertib, bertanggungjawab

Program Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan suasana budaya politik lebih tertib dan bertanggungjawab. (Gambar kecil: Mohd Izani)
Program Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan suasana budaya politik lebih tertib dan bertanggungjawab. (Gambar kecil: Mohd Izani)
A
A
A

SHAH ALAM - Program Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan suasana budaya politik lebih tertib dan bertanggungjawab.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpandangan, debat secara terbuka itu telah memberi peluang kepada rakyat untuk menilai kemampuan, keyakinan dan penyampaian pemimpin sekali gus mampu mempengaruhi persepsi masyarakat.

“Debat ini sesuai dengan budaya politik yang terbuka kerana lebih rasional. Saya yakin selepas ini akan ada pemimpin dibawa ke pentas (debat) dan persiapan akan dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana sedar bakal dinilai oleh rakyat.

“Inilah yang rakyat mahukan, bukan sekadar mengutarakan isu lapuk, penonton juga lebih puas mendengar hujah pemimpin yang lebih jelas dan objektif,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Khamis, berlangsung program Debat Perdana Najib-Anwar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian.

Program yang julung kali menampilkan bekas perdana menteri dan Ketua Pembangkang itu mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew Daily dan Malaysia Gazette.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hujah yang diutarakan Najib, Mohd Izani berpendapat, Ahli Parlimen Pekan itu tidak beretorik, malah berkongsi pandangan secara objektif mengenai langkah menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB).

“Sebagai seorang yang pernah memegang tampuk kerajaan, pengalaman itu membantu (Najib) menyampaikan hujah-hujah dan walaupun bukan lagi perdana menteri, ia dijadikan panduan kepadanya menjawab soalan khususnya isu SEB.

“Debat ini bukan nak mencari siapa betul atau salah tetapi boleh jadi permulaan baik kepada politik yang matang,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!