Banjir: Penggiat pelancongan di Janda Baik gesa tindakan segera

Kerja mendalamkan sungai-sungai yang cetek perlu disegerakan
Kerja mendalamkan sungai-sungai yang cetek perlu disegerakan
A
A
A

BENTONG - Penggiat pelancongan di Janda Baik minta pihak berkuasa dan berkaitan segera bertindak mengatasi masalah banjir sehingga mereka terpaksa berdepan kerugian besar.

Banjir pada Disember tahun lalu diikuti kejadian terbaru pada Rabu lalu menyebabkan mereka kian dihimpit keresahan kerana perlu berdepan kerosakan selain boleh menjejaskan kehadiran pengunjung ke lokasi pelancongan terkenal itu.

Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik yang juga operator pelancongan turut menyuarakan keresahan mereka.

Pengerusinya, Rahimi Anuar, 57, berkata, sungai-sungai dan hutan di Janda Baik menjadi aset tarikan pengunjung.

"Keadaan air sungai pun keruh sejak banjir sebelum ini dan bila berlakunya situasi sebegini ia mengurangkan kehadiran pengunjung menyebabkan kerugian kepada semua ahli.

"Berani saya katakan hampir 50 peratus jumlah pengunjung menurun akibat situasi ini," dakwanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat memantau sebarang aktiviti pembangunan dan penerokaan di lokasi tersebut.

"Selain itu, persatuan berharap kerosakan yang ada diperbaiki seperti jambatan-jambatan yang putus dan kerja-kerja mendalamkan sungai dilakukan segera," katanya.

Bagi pengusaha Al Sakinah Resort Janda Baik, Datuk Rusma Ibrahim, 70 berkata, pengusaha sepertinya baru hendak kembali bernafas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan jangkitan Covid-19.

"Namun dengan situasi banjir kali ini, jika berterusan menyebabkan operasi resort boleh ditutup sekaligus menyebabkan kerugian buat kami," ujarnya lagi.

Banjir yang turut menjejaskan Al Sakinah Resort Janda Baik pada Rabu lalu. Gambar kanan: Keadaan yang dialami antara resort yang terjejas akibat banjir pada Rabu lalu.
Banjir yang turut menjejaskan Al Sakinah Resort Janda Baik pada Rabu lalu. Gambar kanan: Keadaan yang dialami antara resort yang terjejas akibat banjir pada Rabu lalu.

Beliau yang juga penasihat Persatuan Pengusaha Resort Janda Baik berharap satu tindakan efektif dapat dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut supaya kejadian banjir tidak berulang.

Dalam pada itu, bagi pengusaha Tam Chalet di Pulau Santap, Mohd Rostam Mohd Nor,58, mengharapkan pihak berkaitan segera bertindak untuk mengatasi masalah tersebut.

"Saya harap bantuan sewajarnya dapat disalurkan seperti bantuan baik pulih selain segerakan mendalamkan sungai.

"Macam saya, masih belum dapat beroperasi sejak banjir Disember lalu dan sebelum ini berhasrat menyambung kembali perniagaan pada musim cuti persekolahan tak lama lagi namun bila jadi begini memang tidak dapat dibuka lagi" jelasnya mengusahakan chalet itu sejak 2013.

Tambahnya, kejadian pada Rabu menyebabkan beliau kerugian hampir RM20,000 selepas semua tilam, katil, bantal rosak ditenggelami air serta kerosakan lain.

Sementara itu, turut terjejas, pengusaha sukan lasak bermotor, All Terrains Vehicle (ATV) di Kampung Pulau Santap di Janda Baik, Mohd Zaimi Mustaffa, 43, yang berharap bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada pengusaha sepertinya yang sebelum ini sudah banyak terkesan akibat banjir pada Disember lalu.

Dalam kejadian pada Disember lalu, beliau mengalami kerugian kira-kira RM200,000 dan pada Rabu lalu, kerugian dianggarkan lebih RM150,000 selepas 25 ATV miliknya dan beberapa buah motocross dihanyutkan air deras.

Mohd Zaimi yang telah mengusahakan aktiviti sukan lasak di Janda Baik sejak sembilan tahun lalu tetap bersemangat meneruskan perniagaan tersebut.

"Rugi kalau tidak diteruskan kerana selama ini ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung," akuinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!