Wartawan ditemui mati di rumah
IPOH - [DIKEMASKINI] Wartawan Malaysian Nanban, P Chandra Segar, 62, ditemui mati di rumahnya di Taman Lim Garden, di sini.
Difahamkan mayat ditemui pada jam 1.30 petang tadi dalam salah satu bilik rumahnya.
Beliau yang mesra dipanggil Segar dalam kalangan rakan wartawan sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.
Beberapa rakan media yang ditemui terkejut dengan berita kematiannya.
Rakan mangsa, M Sivanathan, 57, berkata, berita kematian Segar sangat mengejutkan kerana tiada tanda-tanda dia akan pergi.
"Kali terakhir jumpa dia hari Sabtu dan dia sihat saja. Malah malam semalam saya telefon pun dia masih gelak ketawa.
"Tak sangka hari ini saya tengok dia dah tak ada. Kami kawan lama dan dia tak pernah cerita masalah. Sentiasa senyum dan suka tolong orang," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, Segar mempunyai tiga orang anak manakala isterinya pula telah meninggal dunia enam tahun lepas. Sementara itu, mayat mendiang dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini untuk bedah siasat selepas disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!