Conte komited kekal di Spurs
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte berjanji akan memberi komitmen seratus peratus kepada kelab yang berpangkalan di utara London.
Jurulatih kelahiran Itali itu menyertai Spurs pada November menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat sebelum ini enggan mengulas berkenaan masa depannya bersama pasukan itu.
Bagaimanapun kebelakangan ini, Conte dilihat seolah-olah memberi bayangan bahawa dia mungkin akan kekal bersama The Lilywhites untuk tempoh masa yang lama.
“Sejak kali pertama melangkah ke kelab ini, saya sentiasa mahu beri komitmen sepenuhnya kepada pasukan.
Saya seorang individu yang komited dengan kerja.
"Jadi saya akan beri 200 peratus komitmen kepada pasukan ini," katanya.
Difahamkan, peluang Conte untuk kekal bersama Spurs bergantung sama ada pasukan itu mampu atau tidak untuk bertanding di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Spurs kini berpeluang untuk menduduki tangga keempat sekiranya mereka berjaya memenangkan perlawanan menentang Burnley pada Ahad selepas berjaya menewaskan pencabar terdekat Arsenal 3-0 tempoh hari.
Dalam pada itu, Conte melihat perlawanan menentang Burnley ini bukan sahaja mampu untuk mencerahkan peluang pasukannya untuk beraksi di UCL, malah ia juga peluang terbaik untuk mereka membalas dendam selepas tewas 0-1 dalam aksi liga sebelum ini.
“Saya berharap kita mampu untuk memenangi perlawanan menentang Burnley.
"Perlawanan ini sangat penting bukan sahaja untuk mencerahkan peluang ke UCL tetapi ia juga penting untuk kami membalas dendam atas kekalahan di tangan mereka pada awal musim lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!