Yayasan Rythm kembangkan projek perkasa wanita terabai ke Thailand
KUALA LUMPUR - Yayasan Rythm melebarkan sayap pelaksanaan projek sosial konglomerat ke Thailand apabila mengumumkan pelancaran projek pemerkasaan komuniti bagi mengubah kehidupan remaja dan wanita kurang bernasib baik di kawasan luar bandar negara berkenaan.
Ketuanya, Santhi Periasamy berkata, melalui inisiatif ini, golongan remaja dan wanita terabai itu akan menerima latihan pengurusan diri bagi memperkasa dan membangunkan kondisi fizikal, sosial, ekonomi dan pendidikan ebih baik demi masa hadapan mereka.
Jelasnya, inisiatif yang mendapat sokongan Kumpulan Qi Malaysia itu diunjurkan selama tiga tahun dan bakal menggabungkan aspek pendidikan dan sukan bagi memacu perubahan sosial dalam kalangan 60 wanita, termasuk golongan ibu tunggal dan kumpulan berpendapatan rendah.
"Projek ini juga akan menfokuskan usaha menggalakkan kelompok berkenaan mencari rezeki dengan dibantu komuniti setempat. Mereka akan dilatih dengan pelbagai kemahiran perniagaan dan keusahawanan seperti pengurusan kewangan, skil kepimpinan dan komitmen keusahawanan.
"Melalui latihan ini, mereka akan dibekalkan asas kemahiran hidup yang relevan dengan keperluan masa kini seperti kemahiran komunikasi berkesan, pembinaan sahsiah, empati, pemikiran kritis serta pembangunan tenaga kerja masa hadapan.
"Objektifnya adalah bagi memastikan golongan wanita ini menjadi tenaga mahir dan kemudiannya kembali ke komuniti masing-masing sebagai fasilitator untuk melatih belia senasib melalui kemahiran baharu diperolehi mereka," ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Penerokaan usaha Yayasan Rythm ke kawasan ibu kota Thailand adalah langkah pertama dalam rancangan yayasan berkenaan untuk menanam akar yang lebih mendalam di Asia Tenggara selain berhasrat mengembangkan kajian impak sosial terhadap projek diusahakan ke rantau Indo-China.
Beribu pejabat di Hong Kong dengan pejabat operasi serantau berlokasi di Malaysia, Yayasan Rythm telah melaksanakan pelbagai projek impak sosial yang berjaya di seluruh Asia Selatan, Malaysia, Indonesia, dan Afrika Sub-Sahara selama bertahun-tahun.
Ia kini berhasrat untuk memperluas jangkauannya dalam menyokong komuniti kurang bernasib baik di seluruh Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar.
Mengulas lanjut, Santhi menjelaskan impak pelaksanaan projek sosial ini membolehkan 10,000 remaja dan gadis muda yang kurang bernasib baik di rantau Asia Tenggara mendapat manfaat dari sudut keselamatan diri, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat susulan mereka dibekalkan pengetahuan untuk melindungi diri daripada penyakit, bencana mahu pun ancaman eksploitasi wanita.
"Adalah penting bagi kami mendapat sokongan komuniti setempat kerana kami bukan sahaja ingin memastikan akses yang lebih baik kepada sumber dan peluang buat golongan wanita kurang bernasib baik.
"Tetapi langkah itu membolehkan masyarakat mengambil bahagian dan menyusun atur hala tuju masa hadapan perjalanan projek berkenaan supaya mereka dapat mengekalkan inisiatif kewujudan projek impak sosial berkenaan sampai bila-bila, sekali pun tidak lagi dipantau pihak kami selepas tempoh tiga tahun," tegasnya lagi.
Untuk rekod, pelaksanaan projek baharu bertajuk 'Pembangunan Kapasiti Komuniti, Pemerkasaan Wanita dan Pembangunan Pendidikan Kehidupan untuk Belia dan Wanita' ini adalah lanjutan kejayaan projek kerjasama di antara Yayasan Rythm dan Yayasan ASA di Jawa Barat, Indonesia.
Projek ini juga merupakan usaha tiga tahun yang dimulakan pada tahun 2019 untuk mempromosikan elemen pemerkasaan dan pembangunan pendidikan untuk 30 guru wanita dan lebih 5,000 belia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!