Mayat budak lemas ditemukan selepas rambut tersangkut pada kayu
KOTA MARUDU - Kanak-kanak perempuan yang hanyut di Sungai Melangkap ditemukan meninggal dunia kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang dalam kejadian di Kampung Melangkap Darat pada Sabtu.
Mangsa, Elzanatira Asod, 10, ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan keselamatan pada jam 11.50 pagi selepas rambutnya tersangkut pada kayu di sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua dimulakan pada jam 7 pagi di sepanjang sungai berkenaan.
"Ketika pencarian dilakukan, seluar milik mangsa ditemui dua kilometer dari tempat mangsa hilang oleh penduduk kampung.
"Mangsa pula kemudian berjaya dijumpai oleh penduduk bersama pihak bomba dan agensi bantuan lain sejauh tujuh kilometer dari tempat dia hilang di mana ketika itu rambutnya tersangkut pada kayu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi SAR ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari," katanya
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas menyeberang sungai bersama ibunya ketika dalam perjalanan pulang dari kebun pada Jumaat.
Dalam kejadian itu, kepala air tiba-tiba datang dan menyebabkan mangsa hanyut, manakala ibunya berjaya ke tepi sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!