11 lelaki ditahan dalam operasi polis di lebuh raya

Antara suspek yang ditahan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman dalam operasi di Lebuh Raya Plus dan Lebuh Raya Lekas, awal pagi Sabtu.
Antara suspek yang ditahan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman dalam operasi di Lebuh Raya Plus dan Lebuh Raya Lekas, awal pagi Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 11 lelaki masing-masing ditahan dalam operasi polis di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban (Plus) dan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) kerana menunggang motosikal dengan melakukan aksi bahaya, pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi bermula pada jam 11 malam itu dilakukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman di tiga lokasi berasingan sekitar lebuh raya berkenaan.

"Pada jam 2.20 pagi pasukan tangkapan membuat pemantauan di Lebuh Raya Plus arah Seremban dan mengekori sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang sambil melakukan aksi 'superman', 'zig-zag' serta bersaing sesama sendiri.

"Lebih kurang jam 2.30 pagi, lima suspek berkenaan kemudian memberhentikan motosikal di kawasan parkir hadapan kedai dobi layan diri di Jalan Rasah Prima 3, Seremban dan mereka ditahan," kata Mohd Nadzri dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurutnya, kelima-lima suspek turut merancang pergi makan di sebuah kedai berhampiran sebelum ditahan kerana melakukan lagak ala samseng jalanan di lokasi tersebut.

Mohd Nadzri berkata, dalam operasi sama, pasukan tangkapan menahan dua lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Plus arah Kuala Lumpur dipercayai dalam perjalanan pulang ke Rawang selepas menjamu selera di Port Dickson.

Sementara itu, sekitar jam 1.50 pagi, pihak polis mengesan dan menahan empat 'mat rempit' berusia dalam lingkungan 17 hingga 20 tahun di Lebuh Raya Lekas arah Seremban.

"Pasukan tangkapan yang membuat pemantauan di Plaza Tol Ampangan mengesan dan mengekori sekumpulan motosikal (penunggang) yang melakukan aksi 'superman' dan bersaing.

"Hasil siasatan mendapati mereka bercadang keluar melepak dan meronda di sekitar Bandar Seremban kemudian merancang merempit di Lebuh Raya Lekas di Plaza Tol Ampangan hingga Taman Margosa," kata beliau dalam kenyataan sama.

Tambah Mohd Nadzri, polis kemudian mengeluarkan 36 saman terhadap kesemua penunggang yang berusia dalam lingkungan dari 17 hingga 22 tahun itu atas pelbagai kesalahan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!