Masyarakat Dayak berisiko tinggi diminta ambil dos penggalak kedua

Kui Hian
Kui Hian
A
A
A

SIBU - Masyarakat Dayak yang berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 perlu segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak kedua bagi memastikan mereka memiliki imuniti tinggi ketika menyambut perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, mereka yang belum menerima dos penggalak kedua tersebut, terutama golongan berusia 60 tahun ke atas, adalah digalakkan untuk berbuat demikian memandangkan perayaan itu melibatkan banyak aktiviti keramaian.

"Sesiapa yang belum menerima suntikan dos penggalak kedua pastikan anda mendapat suntikan supaya (memiliki) imuniti tinggi maka anda boleh menyambut Gawai dengan selamat (daripada jangkitan Covid-19),” katanya ketika berucap sempena majlis praGawai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong di sini, pada Sabtu.

Presiden SUPP itu berkata, beliau sendiri sudah mengambil suntikan dos penggalak kedua beberapa minggu sebelum Aidilfitri lepas kerana beliau dijadualkan menghadiri banyak majlis sambutan hari raya dan Gawai Dayak.

Kui Hian berkata, Sarawak telah diiktiraf sebagai negeri terbaik dan paling tinggi di negara ini dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyatnya, iaitu mencecah sekitar 95 peratus berbanding negeri-negeri lain.

Bangga dengan pencapaian tersebut, katanya kejayaan itu adalah hasil kerjasama padu rakyat Sarawak dalam membantu kerajaan menangani penularan virus tersebut dan telah membolehkan banyak majlis secara bersemuka diadakan.

Menurutnya memandangkan masyarakat kini menjalani kehidupan harian bersama Covid-19, mereka perlu mempraktikkan amalan ‘kita jaga kita’. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!