Tengku Permaisuri Norashikin berkenan lancar Buku Mewah PVRTM
KUALA LUMPUR - Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada Sabtu berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Mewah ‘Di Sebalik Nama Orang RTM’ yang diterbitkan oleh Persatuan Veteran RTM (PVRTM), di sini.
Buku yang diterbitkan buat pertama kali itu mengandungi fakta serta maklumat mengenai 76 orang tokoh personaliti dalam kalangan ahli PVRTM sendiri yang telah menabur bakti di dalam Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sama ada di hadapan atau di belakang tabir.
Presiden PVRTM Zohara Gany Mhd Bathusha berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkan buku itu memandangkan proses pencarian fakta yang rumit, terutama bagi tokoh yang telah meninggal dunia.
"Untuk memilih 76 orang tokoh personaliti itu memang susah sebab perlu memilih tokoh daripada kira-kira 1,200 ahli kita yang sedia ada, tetapi kita pilih juga, yang kita rasa ‘senior’ kita bagi beri keutamaan dahulu dan kita campur juga dengan yang baru bersara.
"Kita juga ambil daripada lain-lain jabatan seperti jurukamera, editor, penyampai radio, produser, dan lain-lain. Jadi, jangan ingat kalau personaliti itu cuma penyiar sahaja, tetapi orang di sebalik kamera juga ada, dan tugas mereka juga mustahak,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran buku itu, pada Sabtu.
Sementara itu Zohara berkata, pihaknya dijangka memulakan projek buku itu untuk edisi kedua pada pertengahan tahun ini yang akan memuatkan kira-kira 30 hingga 40 orang tokoh dan personaliti PVRTM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!