Sukan SEA: Skuad futsal lelaki dibelasah Vietnam 7-1
SKUAD futsal lelaki kebangsaan dibelasah 7-1 oleh Vietnam pada aksi kedua saingan liga sepusingan Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di Kompleks Sukan Ha Nam, pada Sabtu.
Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut skuad kendalian Chiew Chun Yong selepas tumpas 2-6 kepada Thailand pada aksi sulung, Rabu lepas.
Lebih memilukan, skuad kebangsaan dibolosi sehingga lima gol pada separuh masa pertama untuk kali kedua selepas perlawanan sebelum ini.
Pada aksi itu, lima gol pasukan tuan rumah dalam separuh masa pertama masing-masing dijaringkan Nguyen Minh Tri pada minit kedua, Nguyen Thinh Phat (minit kelima dan ke-12), Le Quoc Nam (minit ke-18) dan Nguyen Manh Dung pada minit ke-19.
Terdahulu, Malaysia mengejutkan tuan rumah menerusi gol pembukaan Muhammad Ekmal Shahrin pada minit kedua sebelum Vietnam pantas menyamakan kedudukan menerusi Minh Tri.
Vietnam melengkapkan kemenangan sulung mereka dengan menambah dua jaringan pada babak kedua menerusi Thinh Phat pada minit ke-37 sebelum Minh Tri meledak gol ketujuh seminit kemudian.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menduduki tempat tercorot sementara Vietnam dan Indonesia berkongsi empat mata masing-masing berada di kedudukan teratas dan kedua manakala Thailand yang baru beraksi satu perlawanan di kedudukan ketiga dengan mengutip tiga mata.
Malaysia akan meneruskan saingan bertemu Indonesia (16 Mei) dan Myanmar (20 Mei) di venue sama dalam usaha menghidupkan peluang untuk membawa pulang kilauan pingat.
Dalam pada itu, saingan bagi kategori wanita akan bermula esok dengan Malaysia berdepan Thailand diikuti aksi menentang tuan rumah (17 Mei) dan Myanmar pada 19 Mei.
Saingan kategori wanita turut berlangsung di venue sama dan menggunakan format liga sepusingan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!