Wei Ying mahu raih lebih banyak kejayaan

Wei Ying
Wei Ying
A
A
A

PEMAIN badminton pekak wanita negara, Boon Wei Ying mahu meneruskan momentum kecemerlangan selepas kejayaan memenangi tiga pingat pada Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil baru-baru ini.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, tumpuannya kini beralih kepada Sukan Orang Pekak Asia Pasifik 2022 yang dijangka diadakan tahun ini.

"Saya hanya menyasarkan satu pingat sahaja namun tiga pingat berjaya diperolehi di Sukan Deaflympic Brazil

"Saya mahu kekal fokus pada latihan beregu campuran dan beregu wanita untuk sukan itu nanti (Sukan Pekak Asia Pasifik)," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Wei Ying menamatkan penantian pingat emas 21 tahun Malaysia apabila muncul juara acara beregu wanita bergandingan dengan Foo Zu Tung selain turut menghadiahkan pingat perak menerusi gandingan bersama Edmund Teo Seng Keong dalam acara beregu campuran pada temasya dwitahunan itu.

Beliau turut meraih pingat gangsa acara perseorangan wanita selepas pemain Jepun Mai Yakabe menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan penentuan gangsa apabila terpaksa dikuarantin akibat Covid-19.

Sementara itu, Edmund berkata, beliau meletakkan sasaran memperbaiki pencapaian pingat peraknya pada temasya Sukan Deaflympic 2025 Tokyo di Jepun.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas dalam temasya dwitahunan itu menerusi atlet lelaki olahraga pekak Zana Azizul Ujang dalam acara 110 meter lari berpagar di Sukan Deaflympic Rom, Itali pada 2001. - Bernama