ASEAN, AS ganda usaha kolektif untuk penyelesaian damai di Myanmar
BANGKOK - ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) akan menggandakan usaha kolektif ke arah penyelesaian damai di Myanmar.
Menurut kenyataan visi bersama yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang pertama kali diadakan di Washington, DC, negara anggota Asean dan AS amat prihatin terhadap krisis di Myanmar.
Para pemimpin mengulangi komitmen terhadap keamanan dan kestabilan di rantau itu dan menyeru keganasan dihentikan segera di Myanmar dan semua tahanan politik, termasuk warga asing dibebaskan.
"Kami akan menggandakan usaha kolektif kami ke arah penyelesaian damai di Myanmar yang juga mencerminkan komitmen berterusan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asas, seperti yang digariskan dalam Piagam ASEAN.
"Kami mengalu-alukan penyelarasan antara Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar dan Duta Khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar untuk memastikan sinergi dalam usaha penting ini,” menurut kenyataan itu.
ASEAN dan AS akan terus menyokong usaha Asean untuk memudahkan penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar, termasuk melalui tugas Duta Khas Pengerusi Asean mengenai Myanmar, dalam membina keyakinan dan kepercayaan serta akses kepada semua pihak yang berkenaan, dan penyampaian bantuan kemanusiaan yang berkesan kepada rakyat Myanmar, termasuk mereka yang amat memerlukan, tanpa diskriminasi.
Kenyataan visi bersama itu juga menggesa pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) yang tepat pada masanya dan menyeluruh.
5PC mengenai Myanmar yang diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Jakarta pada 24 April tahun lalu ialah: menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan yang membina dengan pihak berkepentingan; ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar; pelantikan duta khas ASEAN untuk menjalankan rundingan; dan untuk utusan khas itu dibenarkan melawat negara itu.
Mengenai krisis Rusia-Ukraine, kenyataan visi bersama itu menyatakan ASEAN dan AS terus menegaskan semula penghormatannya terhadap kedaulatan, kemerdekaan politik dan integriti wilayah.
Para pemimpin turut mengulangi gesaan supaya mematuhi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.
"Kami menegaskan kepentingan untuk menamatkan segera permusuhan dan mewujudkan persekitaran untuk penyelesaian secara aman. Kami menyokong usaha Setiausaha Agung PBB (Antonio Guterres) untuk penyelesaian damai itu.
"Kami juga menyeru untuk memudahkan akses pantas, selamat dan tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan untuk mereka yang memerlukan di Ukraine, dan untuk perlindungan orang awam, kakitangan kemanusiaan, dan orang dalam situasi yang terdedah,” kata kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!