Ahli perniagaan rugi RM194,000 ditipu 'polis palsu'

Mendedahkan butiran peribadi dan melakukan tiga transaksi di tiga akaun bank tempatan yang diberikan oleh suspek

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan kerugian RM194,000 selepas terpedaya dengan helah ahli sindiket Macau Scam yang menghubunginya melalui talian telefon dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Lelaki berusia 70-an itu menerima dua panggilan telefon pada jam 11 pagi, 17 Mac lalu sebelum melakukan tiga transaksi ke tiga akaun bank tempatan di bandar Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mangsa menerima panggilan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dari sebuah Ibu Pejabat Kontinjen di Pantai Timur.

Katanya, pemanggil tersebut mengatakan mangsa gagal hadir ke mahkamah atas satu kesalahan kecurian identiti untuk membuat pinjaman sebelum suspek memindahkan talian kepada suspek kedua yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis.

“Suspek mengatakan pihak berkuasa akan menyita kesemua duit di dalam akaun mangsa dan sebagai langkah keselamatan mangsa diarah memindahkan kesemua wangnya di dalam akaun bank miliknya ke tiga akaun bank lain yang diberikan suspek,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pada hari sama, mangsa kemudian melakukan tiga transaksi pemindahan wang ke tiga akaun yang diberikan oleh suspek dengan keseluruhan wang tunai berjumlah RM194,000.

“Selepas wang itu dipindahkan, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon daripada suspek meminta dia memindahkan lebih banyak wang menyebabkan mangsa tersedar dia ditipu dan kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Tambahnya, sindiket Macau Scam semakin licik menyasarkan mangsa dari Kelantan tanpa mengira latar belakang dengan cara menipu mangsa menggunakan modus operandi membuat panggilan telefon dan menyamar sebagai pihak berkuasa dari pelbagai jabatan termasuk polis, peguam, mahkamah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Kes yang direkodkan bagi Kelantan dalam tempoh sebulan bagi Mac tahun ini sudah terdapat lima kes dengan kerugian RM339,000, manakala daripada Januari sehingga 25 Mac tahun ini keseluruhan 15 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian RM600,000.

“Satu jumlah yang besar dan kami menasihatkan kepada orang awam supaya lebih berhati-hati dan jangan terpedaya atau menjawab panggilan telefon dari individu tidak dikenali serta nombor telefon yang tertera panggilan dari luar negara dan sebagainya bagi mengelak ditipu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!