Lantik sasterawan sebagai Senator

Rata-rata berpendapat sudah sampai masanya seorang tokoh sastera menduduki Dewan Negara.
Rata-rata berpendapat sudah sampai masanya seorang tokoh sastera menduduki Dewan Negara.
A
A
A

CADANGAN untuk melantik seorang senator dalam kalangan orang sastera mendapat respons yang menggalakkan. Rata-rata berpendapat sudah sampai masanya seorang tokoh sastera menduduki Dewan Negara.

Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh, ketika dihubungi menyatakan persetujuan atas cadangan tersebut. Cadangan ini turut mendapat sokongan daripada novelis dan pelukis terkemuka tanah air, Zakaria Ali.

“Dengan adanya wakil golongan sastera, banyak sumbangan pemikiran dapat membantu ke arah pembangunan negara. Martabat seni sastera juga dapat diangkat bersama dengan jenis seni yang lain”, ujar A. Halim Ali selaku jurubicara Persatuan Penulis Budiman.

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dalam Kolokium Kepimpinan Gapena pada 12 Februari 2022 telah meluluskan sebuah ketetapan, betapa perlunya tokoh sastera mewakili penulis dilantik sebagai senator. Rata-rata anggota barisan pengurusan yang mewakili 22 buah persatuan dan pertubuhan kesusasteraan seluruh negara itu, bersetuju untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan atas pelantikan itu, kerana banyak urusan kesusasteraan, kebahasaan dan kebudayaan tertunggak.

Dramatis dan pengarah drater tersohor, Zakaria Ariffin menyatakan: “Penulis bukan sekadar pencatat, perakam atau pemerhati yang tajam intuisinya, malah pemikir dan pentafsir yang sangat jauh pandangannya melewati sempadan sastera, bahasa, budaya, dan mampu menyumbang dalam pembentukan negara bangsa.”

Dramatis ini meletakkan seorang pengarang itu memiliki daya fikir, daya renung dan daya ramal, dengan demikian sangat sesuai mereka dilantik sebagai senator, untuk sama-sama berkhidmat ke arah negara yang makmur. Golongan pengarang sentiasa berjiwa saksama pertimbangannya, sering menjunjung kebenaran dan menyanggah kebatilan.

Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan, Mohd Saipuddin Suliman pula berpendapat: “Cadangan itu sangat tepat dan sesuai untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Pengarang mewakili rintihan, suara dan milieu masyarakat yang memerlukan keprihatinan. Senator sastera dapat menyampaikan permasalahan dasar-dasar sastera dan menangani segenap isu-isu kesusasteraan,” ujarnya.

Sementara itu, Rahman Shaari seorang penyair dan pengkritik puisi yang terkemuka, juga ketua Persatuan Penyair Malaysia menegaskan, “Sangat wajar dilantik seorang dalam kalangan sasterawan untuk menduduki tempat itu.”

Rahman menyatakan bahawa Datuk Jins Shamsuddin pernah dilantik, tetapi hanya membawa persoalan seni filem. Begitu juga penyair dan mantan ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Firdaus Abdullah pernah menduduki kerusi Dewan Negara itu, tetapi kini telah berlaku kekosongan dalam tempoh lama.Ketiadaan wakil pengarang begitu lama, banyak persoalan dan permasalahan tidak dapat dipecahkan. Rancangan pembangunan sastera juga terabai. Antara yang masih belum selesai persoalannya, seperti Dasar Sastera Kebangsaan yang sudah dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Banyak pertemuan dalam kalangan penguasa sastera telah membincangkannya, namun masih tersekat kewujudannya.

Suara sumbang senantiasa mencari jalan menggugat kedudukan Sastera Kebangsaan. Dasar sastera kebangsaan itu yang sudah dirancang berpuluh-puluh tahun itu, sudah sampai masanya untuk dilegitimasikan.

Suatu masa dahulu ada perancangan, Kuala Lumpur menjadi bandar sastera, seperti Paris di Perancis dan Saint Petersburg di Rusia. Seandai Dasar Sastera Kebangsaan itu belum wujud, cita-cita itu hanya akan menjadi impian.

Ketua Satu Persatuan Penulis Nasional (Pena), Saleeh Rahamad, menjelaskan, satu mesyuarat anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka sudah berlangsung untuk membincangkan semakan semula Dasar Sastera Kebangsaan.

Secara peribadi beliau menyatakan, Dasar Sastera Kebangsaan perlu dimartabatkan secara perundangan, bukan lagi kekal sebagai konsep longgar yang sentiasa terdedah kepada cabaran para demagogi politik.

Sementara itu, ada keluhan daripada Imlan Adabi, entah bila Dasar Sastera Kebangsaan itu akan direalisasikan. Sektor lain sudah melaksanakan pelbagai dasar yang bertujuan memaktubkan sesuatu agenda bertaraf nasional tetapi tidak bidang kesusasteraan.

Selain itu persoalan lain yang perlu diambil perhatian ialah penubuhan Muzium Sastera Negara. Hayat sastera Melayu sudah terlalu panjang dan tua, serta pernah menjadi alat penggerak semangat kemerdekaan, dan berusaha melakukan pengisiannya pada zaman pascamerdeka.

Meski sudah ada muzium sastera di Melaka dan Selangor, tetapi kita memerlukan yang beridentiti kenegaraan seperti Muzium Negara.

Sebuah lagi gerakan yang wajib dihidupkan ialah anjuran Gapena mencadangkan dalam Sistem Pendidikan Negara supaya mata pelajaran sastera, diangkat tarafnya menjadi mata pelajaran wajib bersama Bahasa Melayu, Inggeris, Pendidikan Islam dan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Pelajaran sastera antara falsafahnya ialah memanusiakan manusia dan mengembalikannya kepada taraf insaniah. Gapena telah menyerahkan sebuah memorandum kepada Menteri Pendidikan, tetapi hingga kini tiada sebarang tindakan.Antara tokoh yang boleh dicadangkan menduduki kerusi senat itu ialah Datuk Zainal Abidin Borhan; Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Dr. Muhmmad Haji Saleh; Sasterawan Negara yang pernah dicadangkan menjadi Yang di-Pertua Pulau Pinang, Datuk Seri Profesor Dr. Md. Salleh Yaapar berpengalaman sebagai Pengerusi Penglola Dewan Bahasa dan Pustaka, Saleeh Rahamad; Ketua Satu Pena, dan tokoh berkaliber Tan Sri Johan Jaaffar; mantan pengerusi eksekutif Kumpulan Media Prima.Sesungguhnya hasrat untuk melantik seorang senator dalam kalangan sasterawan ini, seharusmya mendapat respons daripada pemimpin negara terutamanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!