FGM 2022 tekankan aspek pendidikan digital
BACHOK - Pameran dunia pendidikan digital menjadi perkara penting yang ditekankan kepada warga pendidik pada Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, selari dengan perkembangan teknologi baharu ketika ini.
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Maznah Abu Bakar berkata, kaedah pendidikan digital itu didedahkan kepada warga guru menerusi pameran yang berlangsung di tapak pamerannya di festival berkenaan.
“Apabila warga pendidikan atau pengunjung datang ke sini, mereka boleh lihat kita menggunakan peranti untuk melaksanakan pedagogi berteraskan digital.
“Di sini kita perlihatkan peranan guru, walaupun pandemik berakhir, pendidikan digital ini diteruskan selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” katanya di sini pada Sabtu.
Menurutnya, pendidikan digital itu turut menerapkan konsep 14 elemen yang ada dalam Sekolahku SEJAHTERA.
Beliau berkata, elemen itu merangkumi seronok, eksplorasi dan rasionalisasi bagi memangkin semangat guru serta murid ke alaf baharu.
Jelas beliau, guru-guru yang hadir ke FGM 2022 akan mendapat pelbagai manfaat daripada rakan pameran seperti Sharp, Apple Malaysia, Google Malaysia dan sebagainya, malah mereka juga akan mendapat sijil penyertaan digital yang akan dimasukkan ke dalam Digital Education Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
Mengulas mengenai FGM 2022, Maznah berkata, festival berkenaan sebenarnya sudah lama dianjurkan dan ia diadakan sekali dengan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada setiap tahun.
Katanya, penganjuran kali ini cukup menarik apabila dilakukan secara bersemuka selepas dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.
“Tujuannya jelas, adalah untuk menghargai jasa guru yang mencurah bakti mendidik anak-anak pewaris masa depan negara.
“Saya berharap dengan adanya FGM ini, para pengunjung dapat melihat aktiviti dan bahan yang kami sediakan untuk sektor pendidikan. Selain itu, kita juga ada sektor pameran lain seperti pendidikan khas, vokasional dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
“Bahagian-bahagian yang saya sebutkan ini mempunyai pameran mereka masing-masing, jadi jangan lepaskan peluang untuk datang saksikan sendiri, antaranya pameran pencapaian anak-anak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
WARGA PENDIDIK, PELAJAR TERUJA HADIR FGM 2022
Penganjuran FGM 2022 julung kalinya secara bersemuka selepas negara memasuki fasa peralihan endemik memberikan kegembiraan kepada warga pendidik selepas berdepan pandemik Covid-19 yang ‘membataskan’ penganjuran program secara besar-besaran.
Seorang guru, Muhammad Firdaus Rashid, 38, berkata, penganjuran FGM itu membolehkan seluruh warga pendidik kembali berkumpul secara bersemuka selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.
“Sudah lama warga pendidik ingin berkumpul dan bertemu secara bersemuka. Saya lihat ramai yang hadir untuk memberikan sokongan kepada FGM ini. Lebih mengujakan lagi Kelantan menjadi tuan rumah untuk FGM pada kali ini,” katanya.
Menurutnya, ia dapat dilihat apabila ada dalam kalangan warga pendidik yang turut sama membawa anak-anak murid ke FGM tersebut.
Bagi Mohd Asri Ibarhim, 54, FGM banyak memberikan informasi dan input baharu dalam dunia pendidikan pada masa kini.
“Maklumat yang didapati di FGM ini akan dikongsi kepada pelajar dan masyarakat dalam menambahkan lagi pengetahuan mereka berkaitan dunia pendidikan.
“Sejujurnya masih tidak percaya Kelantan menjadi tuan rumah. Biasanya FGM dianjurkan di Kuala Lumpur. Jadi bila buat di UMK Bachok, saya melihat peluang ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, guru pelatih dari Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Nurul Nabila Baharum, 23, berkata, FGM banyak memberi manfaat kepadanya.
“Antara manfaat yang saya dapat timba ialah berkaitan dengan dunia pendidikan. Pada masa sama, ia turut memberi pengetahuan tambahan berkaitan pengurusan kewangan apabila bergelar guru tetap selepas ini,” katanya.
FGM KEMBALI MERIAH
FGM yang sebelum ini terpaksa direhatkan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu kembali meriah dengan penganjuran secara bersemuka.
Penganjuran FGM 2022 di UMK Bachok bermula Khamis sehingga Isnin ini dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang merupakan rakan strategik KPM.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, FGM kali ini menampilkan pelbagai kelainan dengan tujuan meraikan warga pendidik yang selama ini telah bertungkus-lumus mendidik anak bangsa selama ini.
“Festival ini tidak dapat diadakan bagi edisi 2020 dan 2021 akibat pandemik. Jadi pada tahun ini segala persediaan dan persiapan telah dibuat untuk menganjurkan FGM 2022 secara besar-besaran.
“YGMB berperanan untuk memelihara kebajikan warga pendidik, di samping membantu memartabatkan profesion keguruan negara,” katanya.
Menurutnya, mengambil kira tanggungjawab itu YGMB akan terus membantu dan memberi sokongan padu kepada program-program yang boleh mengangkat martabat profesion keguruan.
Beliau berkata, sebanyak 27 anugerah Hari Guru akan disampaikan pada Majlis Apresiasi FGM 2022 yang akan disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Menurutnya, anugerah itu terdiri daripada beberapa kategori seperti Anugerah Ikon, Anugerah Cikgu Juara Digital, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pendidikan yang disediakan oleh penaja-penaja seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Nestle, MDeC, Bank Islam dan YGMB.
“Festival ini terbuka kepada orang ramai untuk sama-sama memeriahkan dan melahirkan penghargaan serta terima kasih kepada warga pendidik.
“Jika edisi 2019 kita menerima lebih 30,000 pengunjung, tahun ini kita menjangkakan akan menerima pengunjung yang lebih ramai,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!