Malaysia terus konsisten bantu pelarian Rohingya: Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan sentiasa bertegas dan vokal dalam isu yang melibatkan penindasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar dan konsisten untuk membantu pelarian tersebut daripada terus dinafikan hak mereka, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata tiga perkara utama yang akan diteruskan kerajaan ialah menegakkan keadilan dan membawa mereka yang terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusa itu ke pengadilan dan diadili mengikut undang-undang antarabangsa, pemberian status kewarganegaraan Myanmar kepada etnik Rohingya dan membawa pulang mereka yang melarikan diri ke Bangladesh untuk pulang ke Myanmar.

"Malaysia memainkan peranan yang besar khususnya di Hospital Cox’s Bazar, Bangladesh dan kita juga membantu mereka di dalam negara.

"Semuanya telah kita laksanakan tetapi isu ini masih juga belum selesai. Kita bimbang jika ia tidak diselesaikan, ia semakin berpanjangan dan lebih ramai (Etnik Rohingya di Myanmar) yang akan melarikan diri dan lebih ramai yang akan dibunuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Antarabangsa Jalan Menuju Keadilan Bagi Rohingya: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mekanisme Akauntabiliti Anatarbangsa yang lain di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Gombak dekat di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kesediaan Malaysia membawa isu tersebut ke ICC, Saifuddin berkata Malaysia belum sampai ke tahap tersebut kerana ia akan mengambil masa yang lama.

"Kita masih pertimbangkan penyelesaian menerusi ICC ini, tetapi saya ingin jelaskan bahawa Malaysia belum sampai ke situ lagi, sebaliknya ia masih di peringkat perbincangan.

"Kita tidak tergesa-gesa tetapi kita juga tidak boleh mengambil masa yang terlalu lama kerana isu ini sudah terlalu lama berlarutan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya telah banyak resolusi dan cadangan dikeluarkan, tetapi isu ini belum juga selesai, dan langkah membawa isu itu ke ICC adalah cadangan drastik yang mungkin menjadi pilihan setelah siri rundingan gagal.

"Adakah ICC pilihan seterusnya atau terdapat langkah alternatif lain yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini?

"Ada cara di mana kita boleh melakukan sesuatu, anda tidak perlu menjadi radikal, anda tidak perlu terlalu kuat, tetapi kadang-kadang apa yang diperlukan adalah melakukan dengan bijak tetapi memastikan anda memperoleh faedah terbaik, dia berkata dalam ucaptama beliau. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!