Empat lelaki ditahan miliki senjata api buatan sendiri
KINABATANGAN - Empat lelaki tempatan ditahan selepas didapati memiliki senjata api buatan sendiri bersama peluru dalam dua kejadian berasingan di sekitar Tongod pada Sabtu.
Semua suspek berusia antara 28 hingga 31 tahun ditahan selepas dipercayai melakukan kegiatan memburu secara haram di kawasan hutan simpan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, dua aduan telah diterima di Balai Polis Tongod berhubung penahanan empat suspek berkenaan.
Menurutnya, salah seorang suspek ditahan ketika penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Sabah membuat rondaan di sekitar Hutan Simpan Maliau Basin, Tongod.
"Pemeriksaan yang dilakukan menemui satu laras senjata api buatan sendiri bersama 10 butir peluru dalam milikan suspek dan disyaki menjalankan aktiviti pemburuan haram di kawasan hutan simpan tersebut.
"Dalam kejadian berasingan, tiga lagi suspek ditahan Penguatkuasa Khas Jabatan Perhutanan Negeri Sabah di Hutan Simpan Gunung Tinkar, Tongod, selepas terserempak dengan sebuah pacuan empat roda yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan menemui satu laras senjata api buatan sendiri yang disimpan di belakang kenderaan dan enam butir peluru ditemui dalam beg sandang suspek," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dzulbaharin berkata, keempat-empat suspek itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kinabatangan untuk tindakan selanjutnya.
"Dua kertas siasatan berasingan dibuka dan disiasat di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang tujuh tahun atau denda tidak lebih dari RM10,000," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat setempat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pemburuan haram yang dikenal pasti ke Pusat Kawalan IPD Kinabatangan melalui talian 089-561890.
"Masyarakat juga diingatkan agar tidak memiliki atau menyimpan senjata api buatan sendiri tanpa lesen seperti bakakuk kerana ia adalah satu kesalahan yang serius," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!