Peranan tentera laut tidak terhad kepada keselamatan negara
LANGKAWI - Peranan tentera laut tidak terhad kepada keselamatan negara tetapi juga memainkan peranan penting dalam pembinaan negara, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Beliau berkata kepentingan maritim negara secara langsung berkait dengan ekonomi dan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
"Memandangkan sebahagian besar perdagangan diangkut melalui jalan laut, peranan kritikal angkatan tentera laut dalam melindungi komunikasi laut tetap penting.
"Oleh itu, penting bagi panglima tentera laut atau komander dikerahkan untuk melindungi kepentingan dan hak kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada Perbincangan Meja Bulat Panglima Tentera Laut di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.
Mohamad berkata tugas teras tentera laut adalah melindungi integriti wilayah negara dan juga diamanahkan untuk memainkan peranan dalam aspek lain agenda pembangunan negara seperti pembinaan kapasiti, industri pertahanan negara, pemuliharaan alam sekitar marin dan kerjasama dengan agensi maritim yang lain untuk mengekalkan ketenteraman di laut. Sementara itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata tentera laut perlu sentiasa menyelaraskan strateginya dalam memenuhi matlamat pembangunan negara.
"Ternyata bahawa tentera laut berkemampuan, dan melakukan peranannya dalam pembangunan negara, khususnya dalam pelbagai bidang modal insan, industri pertahanan, perlindungan sumber marin dan keselamatan negara,” katanya.
LIMA’19 diadakan dari 26 hingga 30 Mac di MIEC dan Resorts World Langkawi (RWL).
Kira-kira 406 syarikat dari 32 negara menyertai LIMA’19, melibatkan 206 syarikat Malaysia dan 200 syarikat antarabangsa.
Acara dwitahunan itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan dengan tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence'.
Pameran edisi ke-15 itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, individu yang memulakan idea untuk pameran berprestij ini pada tahun 1991 ketika beliau menjadi perdana menteri keempat ketika itu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!