'Selesai dahulu masalah lalat baru dibenar beroperasi'

Bakri (berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang datang ke rumah terbukanya, pada Ahad.
Bakri (berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang datang ke rumah terbukanya, pada Ahad.
A
A
A

JELEBU - Sebuah ladang ayam berhampiran Felda Titi di sini hanya akan dibenarkan beroperasi semula jika masalah gangguan lalat yang membelenggu penduduk telah diselesaikan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) sebelum itu sudah menggantung lesen operasi ladang berkenaan pada 22 April selepas menerima aduan pada 18 April lalu.

"Kita tegas meminta pemilik ladang selesaikan dulu masalah gangguan lalat itu sebelum dibenarkan beroperasi semula.

"Sebelum ini kita hanya membenarkan mereka membawa keluar ayam yang sudah boleh dijual namun tidak membenarkan anak ayam baharu dibawa masuk ke ladang," katanya ketika ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri di rumahnya di sini, pada Sabtu.

Jelasnya, JPVNS masih memantau keadaan ladang berkenaan bagi memastikan masalah lalat itu benar-benar diatasi kerana ia ternyata menganggu kehidupan penduduk.

Media sebelum ini melaporkan, 10 rumah penduduk peringkat dua di FELDA Titi diserang lalat sehingga mengganggu aktiviti harian selain menjejaskan persiapan hari raya.

Dalam perkembangan lain, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini menyebabkan pengeluaran buah durian di negeri ini tidak begitu menjadi.

Tambah beliau, ia sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan harga durian di pasaran.

"Jadi terpulang kepada orang ramai sama ada mahu membeli atau tidak sekiranya berlaku kenaikan harga durian seperti diramalkan sesetengah pihak.

"Namun apa yang diperhatikan khususnya di negeri ini durian tidak begitu menjadi pada tahun ini disebabkan faktor cuaca sekali gus tidak menolak kemungkinan harga jualan akan meningkat kerana dipengaruhi permintaan yang tinggi namun kekurangan bekalan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!