Asteroid lebih besar daripada Menara Petronas menuju ke bumi
HOUSTON - {DIKEMAS KINI] Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memaklumkan sebuah asteroid gergasi sedang menuju ke arah bumi.
Menurut Pusat Kajian Objek Berhampiran Bumi Nasa (CNEOS), asteroid yang dikenali sebagai 2008 TZ3 itu akan melewati bumi pada hari ini sekitar jam 2.37 petang (waktu tempatan).
Batu angkasa itu secara rutin akan melalui bumi pada setiap 732 hari semasa mengelilingi matahari.
2008 TZ3 berukuran kira-kira 490 meter lebar dengan diameter antara 0.219 hingga 0.490 kilometer (km).
Saiznya lebih besar daripada bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur (452 meter) dan menara Empire State di New York yang berketinggian 443 meter.
Jarak paling dekat asteroid itu dengan bumi adalah 5,740,000 kilometer (km).
Ancaman diramalkan tidak berlaku kerana jarak antara bumi dan bulan adalah sekitar 385,000km.
Bagaimanapun, saintis telah mengklasifikasikan batu angkasa itu sebagai berpotensi berbahaya kerana saiznya yang besar boleh menyebabkan kerosakan yang dahsyat jika ia mengenai bumi.
Dalam pada itu, NASA menjangkakan asteroid paling hampir seterusnya akan berlaku pada Jumaat, 13 April 2029 apabila asteroid Apophas menghampiri bumi.
Jelas NASA, struktur sepanjang 300 meter itu akan berada hampir dengan bumi tetapi tidak akan menghentam bumi dan menyebabkan kemusnahan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!