'Wujudkan kolaboratif bangun ekonomi digital, teknologi hijau'

Dr Adham
Dr Adham
A
A
A

KOTA TINGGI - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memastikan wujud kolaboratif antara sektor kerajaan, swasta dan usahawan bagi pembangunan ekonomi digital serta teknologi hijau di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, MOSTI mengambil serius pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) berhubung pembangunan ekonomi digital dan teknologi hijau di Malaysia.

Justeru beliau berkata, kolaboratif itu penting bagi memastikan kejayaan pelan strategik kementerian khususnya Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 dalam menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi yang makmur.

"Langkah kita sekarang tentu sekali melihat bagaimana serius kita akan pacu kegiatan teknologi hijau ini termasuk dalam sektor pertanian dengan lebih banyak rumah hijau ditadbir menggunakan internet pelbagai benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

"Kita perlu ada bakat dan kolaborasi antara swasta, kerajaan serta usahawan, dan saya akan bertanggungjawab memastikan kolaboratif ini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Sains MOSTI dan sambutan Hari Raya di sini malam Sabtu.

Perdana Menteri dalam lawatan kerjanya itu mempelawa pelabur dan ahli perniagaan AS terutamanya syarikat Fortune 500 untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka iaitu dalam sektor digital ekonomi, teknologi hijau serta kereta elektrik.

Ismail Sabri turut mencadangkan supaya Tesla membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik.

Sementara itu Dr Adham berkata, Malaysia telah mula membangunkan teknologi berkaitan kenderaan elektrik (EV) dalam usaha meletakkan negara sebagai pengeluar teknologi berkenaan.

Menurutnya, Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) juga telah diperkenalkan sebagai platform perintis peringkat kebangsaan, bagi membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan di dalam sektor domestik dan industri, serta penyelesaian mudah alih. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!