Saingan tiga penjuru rebut kerusi Ketua Cabang PKR Paya Besar

Ahli PKR melaksanakan pengundi bagi memilih pucuk pimpinan parti secara digital di Dewan Serbaguna Taman Tas pada Ahad. Gambar kecil: Wan Fauzuldin
Ahli PKR melaksanakan pengundi bagi memilih pucuk pimpinan parti secara digital di Dewan Serbaguna Taman Tas pada Ahad. Gambar kecil: Wan Fauzuldin
A
A
A

KUANTAN - Perebutan kerusi Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada pemilihan PKR pada kali ini.

Penyandang Ketua Cabang PKR Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, dua pemimpin lain yang merebut jawatan itu ialah Datuk Seri Ahmad Omar dan Kamarzaman Mohamed Yunus

Beliau menyifatkan pemilihan cabang Paya Besar adalah antara kawasan panas memandangkan calon bertanding mempunyai pengalaman luas dalam politik dan pemimpin.

"Kami sebenarnya bersaing dan bertanding secara sihat demi kesejahteraan parti, namun apa yang pasti lawan tetap lawan.

"Jika antara kami terpilih menjadi ketua, pasti amanah dan tanggungjawab diberikan ahli parti perlu dipikul dengan sebaiknya," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Taman Tas di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua Komunikasi PKR Pahang memberitahu, proses pengundian cabang Paya Besar tidak berlangsung seperti yang dijadualkan.

Sebaliknya katanya, proses pengundian bermula jam 10 pagi susulan mengalami gangguan terhadap sistem undian digital dan e-voting.

"Kita minta kalau boleh lanjutkan waktu pengundi sehingga jam 6 petang disebabkan kelewatan sistem undian digital berfungsi.

"Disebabkan masalah itu, ada beberapa pengundi membuat keputusan balik kerana mempunyai pelbagai urusan lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Fauzuldin berkata, lebih 3,000 pengundi di cabang Paya Besar akan melakukan pengundian bagi pemilihan pucuk pimpinan sama ada diperingkat negeri mahu pun nasional.

"Kita jangka lebih 3,000 pengundi akan hadir untuk menjalankan tanggungjawab mereka secara fizikal manakala lebih 100 lagi ahli PKR akan melakukan pengundi secara dalam talian pada 18 hingga 20 Mei ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!