Remaja maut kemalangan tiga kenderaan di BORR

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kereta di Kilometer 11.9 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Sungai Dua di sini pada pagi Ahad.

Kejadian berlaku jam 2.30 pagi mengakibatkan mangsa yang berusia 16 tahun itu maut ditempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal sendirian datang dari arah Bagan Ajam menghala ke Sungai Dua.

Menurutnya, mangsa dikatakan telah menukar laluan dari lorong kiri ke lorong kanan menyebabkan motosikalnya bergesel dengan sebuah kereta dari arah belakang.

"Kemudian datang pula dua buah kereta dari belakang yang gagal mengelak dan melanggar penunggang motosikal mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, semakkan dibuat mendapati mangsa tidak mempunyai lesen dan menggunakan motosikal milik bapanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!