Kem wushu akhiri cabaran di Hanoi raih sebutir gangsa
SKUAD wushu negara menamatkan cabaran pada Sukan SEA ke-31 dengan meraih sebutir pingat gangsa pada hari terakhir acara berkenaan dipertandingkan di Gimnasium Cau Giay di sini pada Ahad.
Kutipan pingat itu sekali gus menyaksikan kem Malaysia yang dibarisi enam muka baharu dan dua atlet berpengalaman pada temasya kali ini, meraih keseluruhan dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus mengatasi sasaran masing-masing sebutir perak dan gangsa.
Pada aksi hari ini, Yeap Wai Kin menyumbangkan pingat gangsa buat Malaysia dalam acara Gunshu Lelaki setelah memperoleh 9.68 mata, di belakang atlet Indonesia Seraf Naro Siregar (9.71 mata) dan peserta Singapura Jowen Si Wei Lim (9.69 mata).
Seorang lagi wakil negara, Clement Ting Su Wei, yang sebelum ini mencipta kejutan meraih pingat emas dalam acara changquan dua hari lepas, hari ini gagal mempamerkan prestasi cemerlang apabila menamatkan cabaran di kedudukan keenam dalam acara Gunshu dengan kutipan 9.49 mata.
Sydney Chin Sy Xuan yang meraih pingat gangsa pada Sabtu, juga tidak menyerlah pada hari terakhir acara wushu apabila hanya menduduki tempat ketujuh dalam acara Taijijian Wanita setelah mengutip 9.58 mata, manakala rakan senegara di kedudukan kesembilan dan terakhir dengan memperoleh 9.47 mata.
Acara berkenaan dimenangi peserta Filipina Agatha Chrystenzen Wong yang mengumpul 9.71 mata, manakala pingat perak dan gangsa, masing-masing menjadi milik dua peserta tuan rumah, Tran Thi Minh Huyen (9.70 mata) dan Tran Thi Kieu Trang (9.69 mata).
Wakil Malaysia dalam acara Changquan Wanita juga tidak menyerlah apabila Lee Jia Rong dan Pang Pui Yee berada di kedudukan ketujuh dan kelapan setelah masing-masing memperoleh 9.47 dan 9.42 mata.
Peserta tuan rumah Hoang Thi Phuong Giang dinobatkan pemenang pingat emas selepas meraih 9.71 mata, diikuti Nandhira Mauriskha dari Indonesia dengan 9.70 mata manakala gangsa dimenangi seorang lagi atlet Vietnam Duong Thuy Vi (9.68 mata).
Calvin Lee Wai Leong yang turun beraksi dalam acara Nangun Lelaki juga gagal menempatkan diri dalam kedudukan podium apabila berada di tempat kelapan selepas mengutip 9.42 mata.
Acara berkenaan dimenangi Thein Than Oo dari Myanmar yang memperoleh 9.71 mata, mengatasi pencabar tuan rumah Pham Quoc Khanh di tempat kedua setelah mengumpul 9.70 mata manakala pingat gangsa diraih peserta Indonesia Harris Horatius (9.69 mata). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!