Pendekatan UMNO dalam dua PRN bukti tak ketandusan pemimpin
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pendekatan UMNO memberi ruang kepada muka-muka baharu dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini adalah antara bukti parti itu tidak ketandusan pemimpin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga memperlihatkan kesiapsiagaan parti untuk memastikan obor perjuangan terus menuju ke hadapan.
“Inilah kedinamikan politik UMNO. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan agar sesuai dengan tuntutan semasa.
“Kini, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun melebihi 12 juta orang atau mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi.
“Apakah UMNO tidak cakna akan perkara ini? Apakah kita yang telah bertapak dan menjadi wakil rakyat sejak lima, enam, tujuh atau lapan penggal, masih merasakan ini zaman kita lagi?,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beberapa pendekatan termasuk pindaan Perlembagaan dapat memberi ruang kepada parti menyusun strategi berkesan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Tanpa kita bergelut dengan masalah dalaman. Ini adalah amanah dan tanggungjawab kita kepada kelangsungan parti.
“Ia juga menuntut kita semua untuk berlapang dada dan berjiwa besar bagi memastikan UMNO terus mekar menuju ke satu abad perjuangannya,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!