16 nelayan asing ditahan ceroboh negara

Maritim Malaysia Kelantan menahan 16 nelayan asing Vietnam termasuk seorang tekong yang menceroboh perairan negara secara haram, pada Jumaat.
Maritim Malaysia Kelantan menahan 16 nelayan asing Vietnam termasuk seorang tekong yang menceroboh perairan negara secara haram, pada Jumaat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 16 nelayan asing Vietnam termasuk seorang tekong yang menceroboh perairan negara secara haram, pada Jumaat.

Kumpulan nelayan asing yang berusia 19 hingga 55 tahun itu ditahan semasa menaiki sebuah bot pada kedudukan 45 batu nautika daripada muara Tok Bali di sini pada jam 9.30 malam.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pihaknya mengesan sebuah bot nelayan yang dikemudi dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan pada jam 9 malam.

"Menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan memecut sebagai cubaan melarikan diri daripada ditahan dengan melakukan lencongan dan pergerakan berbahaya bagi menghalang tindakan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, anggota Maritim Malaysia dari Pos Pengkalan Kubor bertindak mengejar dan berjaya menahan bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan.

"Pemeriksaan mendapati bot tersebut milik nelayan Vietnam yang menceroboh masuk ke negara ini secara haram dipercayai bagi menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

"Selain bot peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi turut dirampas. Kita turut merampas hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat 3,000 kilogram," katanya.

Menurutnya, semasa ditahan kesemua nelayan asing ini gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!