Tembakan di Buffalo: Biden kecam 'jenayah bermotif perkauman'
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengecam insiden tembakan di sebuah pasar raya di Buffalo, New York pada Sabtu yang mengakibatkan 10 kematian.
"Jenayah kebencian bermotifkan perkauman adalah menjijikkan dalam struktur negara ini.
"Sebarang tindakan keganasan domestik, termasuk perbuatan yang dilakukan atas nama ideologi nasionalis kulit putih adalah menjijikkan, bertentangan dengan apa yang kami perjuangkan di Amerika.
"Kita mesti melakukan segala-galanya untuk menamatkan keganasan domestik yang didorong kebencian," lapor Xinhua memetik kenyataan Biden.
Sepuluh terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di kedai Tops Friendly Markets di Buffalo pada petang Sabtu.
Penyerang, seorang lelaki kulit putih berusia 18 tahun dikenali Payton Gendron, berjaya ditahan dan dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat pertama selepas dihadapkan ke mahkamah.
Dia memakai pakaian ala-ala tentera serta baju kalis peluru sambil menyiarkan secara langsung serangan itu di platform permainan.
Seramai 11 mangsa merupakan warga Afrika Amerika manakala dua berkulit putih, menurut Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia.
Suspek bertindak memandu selama berjam-jam ke pasar raya Tops, yang terletak di kawasan kejiranan kebanyakannya warga Afrika Amerika.
Menurut Jabatan Kehakiman AS, kejadian itu disiasat "sebagai jenayah kebencian dan tindakan ekstremisme ganas bermotifkan perkauman," menurut satu kenyataan.
Biden turut menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa, sambil berkata nyawa mereka "dirampas secara tidak masuk akal."
"Wanita Pertama dan saya berdoa untuk mangsa dan keluarga mereka, dan seluruh negara turut berduka bersama penduduk Buffalo," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!