India muncul juara Piala Thomas 2022
PENGAKHIRAN yang mengagumkan buat India apabila muncul juara Piala Thomas edisi 2022 selepas menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir berlangsung di Impact Arena hari ini (Ahad).
Pemain perseorangan utama India Lakshya Sen melunaskan tugas dengan baik apabila menyumbang mata pertama selepas menewaskan lawannya Anthony Sinisuka Ginting dalam perlawanan berlangsung hingga set penentuan.
Pemain di ranking kesembilan dunia yang tewas pada set pertama dengan 21-8, bangkit mengecewakan pemain di ranking kelima dari Indonesia itu 21-17, 21-16 sekali gus meletakkan pasukan India di hadapan dengan 1-0.
Beregu utama Indonesia Mohammad Ahsan-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menampakkan sinar apabila menang set pertama 21-18, bagaimanapun terpaksa akur apabila tumbang pada set berikutnya kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Satwiksairaj-Chirag ternyata bersemangat apabila berjaya mengubah kedudukan dengan memenangi dua set berikutnya 23-21, 21-19, dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 73 minit untuk mengukuhkan kedudukan pasukan India.
Srikanth Kidambi yang turun selaku perseorangan kedua ternyata tidak mensia-siakan prestasi terbaik dipamerkan oleh Lakhsya dan gandingan Satwiksairaj-Chirag, untuk berdepan lawannya Jonatan Christie dalam perlawanan terakhir.
Pemain kelahiran Guntur berusia 29 tahun itu menguasai set pertama dengan 21-15 sebelum mengesahkan kemenangan dengan 23-21 untuk menobatkan India sebagai juara baharu Piala Thomas kali ini.
Srikanth ketika ditemui pemberita selepas aksi final itu ternyata sangat gembira apabila semua memainkan peranan mereka dengan baik bagi memastikan India muncul juara hari ini. - Bernama
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!